BH Online
Ringkasan Berita

Ieda Moin dakwa ada pelakon 'kacau' pasaran dengan terima bayaran tak setimpal

PETALING JAYA: Biarpun sudah tiga dekad berkecimpung dalam industri seni, pelakon dan pelawak, Ieda Moin kecewa ditawarkan bayaran yang disifatkan tidak munasabah oleh syarikat produksi.
Ieda Moin dakwa ada pelakon 'kacau' pasaran dengan terima bayaran tak setimpal

Ieda turut meluahkan perbezaan ketara terhadap suasana penggambaran dahulu dan sekarang. Foto NSTP/Rohanis Shukri

PETALING JAYA: Biarpun sudah tiga dekad berkecimpung dalam industri seni, pelakon dan pelawak, Ieda Moin kecewa ditawarkan bayaran yang disifatkan tidak munasabah oleh syarikat produksi.

Ieda atau nama sebenar, Siti Haida Abd Moin, 47, berkata dia ditawarkan bayaran sebanyak RM500 untuk satu episod yang berdurasi sejam oleh sebuah syarikat produksi, baru-baru ini.

"Mereka (produksi) pernah panggil saya untuk jayakan drama satu episod sejam dengan tawaran RM500. Saya tanya kepada pengurus produksi itu, sudah berapa lama dia bekerja dalam industri seni?

"Saya jarang marah, bukan niat hendak berlagak, tetapi kita ada kadar bayaran dan harga kita sendiri.

"Saya sedih kerana ada artis yang sanggup ambil harga serendah itu dan secara tidak langsung 'membunuh' harga pasaran pelakon lain yang sepatutnya," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama pelakon drama terbitan Viu, Ate Kome, I Love You! di Sunway Pyramid di sini, baru-baru ini.

Ieda berkata, lebih membuatkan dirinya kecewa apabila syarikat produksi sanggup mengeluarkan bayaran lebih tinggi untuk pelakon baharu yang sedang meningkat naik, berbanding penggiat seni 'senior'.

Menurut pelakon yang sudah membintangi puluhan naskhah membabitkan filem, telefilem dan drama itu, situasi berkenaan meninggalkan tanda tanya buat dirinya.

"Pelakon baharu boleh dapat RM4,000 hingga RM5,000 sehari atau satu episod. Kita yang sudah lama ini, hendak dapat RM2,000 pun susah.

"Ini bukan sebab cemburu kepada mereka atau apa-apa. Jika itu sudah rezeki mereka, tidak mengapa.

"Cuma, saya persoalkan produksi kalau RM500 untuk 10 babak, satu babak berapa ringgit sahaja bayarannya? Saya tidak boleh terima harga itu kerana ia merosakkan pasaran. Rasa macam kita ini berada di bawah tapak kaki mereka pula," katanya.

Ieda turut meluahkan perbezaan ketara terhadap suasana penggambaran dahulu dan sekarang.

"Dahulu pergi penggambaran, baju disediakan. Sekarang kita faham susah hendak dapat penaja, kita bawa sendiri. Tetapi, sudahlah kena bawa baju sendiri, produksi pula tentukan itu tak boleh, ini tidak boleh.

"Dulu boleh tuntut duit petrol dan tol, sekarang tidak lagi. Bukan kita nak berkira, tetapi kita mahu bekerja dalam suasana yang gembira dan dihargai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ieda membintangi drama romantik komedi, Ate Kome, I Love You terbitan Viu yang mula bersiaran sejak 25 Jun lalu.

Drama 12 episod arahan Helmi Yusof itu mengangkat tema 'dendam lama, cinta baharu' dab turut dibintangi Aniq Suhair, Bella Dowanna, Amy Mastura dan Nurel Baharin.

Video Terkini

Berita Berkaitan