PETALING JAYA: Pelakon Aniq Suhair mengakui selesa mengenali penyanyi, Azeva Natassha secara rapat, malah menyifatkan anak pelakon dan penerbit terkenal, Datuk A Aida itu memenuhi ciri-ciri wanita idaman.
Selain sikap penyayang gadis itu, Aniq, 26, mengagumi tingkah laku Azeva, 25, yang sering memberi aura postif dan membuatkan dirinya selesa.
"Dia ada ciri-ciri wanita yang saya suka. Dia sangat 'wifey material' (wanita dengan ciri-ciri ideal sebagai isteri).
"Antara perkara yang membuatkan saya selesa adalah bahasa tubuhnya yang sangat mementingkan 'act of service' (bahasa cinta), selain memberi aura positif ketika bersamanya.
"Kami sudah kenal lama sejak penggambaran telefilem pertama bersama di Perlis dahulu," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama pelakon drama terbitan Viu, Ate Kome, I Love You! di Sunway Pyramid di sini, baru-baru ini.
Aniq berkata, perkembangan karier Azeva daripada penyanyi kepada pengacara membuatkan dirinya tumpang bahagia dan berasa bangga.
Menurut Aniq, sebagai rakan, dia akan sentiasa memberi sokongan kepada Azeva.
"Saya sangat bangga dengan perkembangan dia. Alhamdulillah, itu rezeki dia dan apa yang ayah serta ibunya impikan. Saya sentiasa menyokong dari belakang.
"Dahulu Azeva sangat 'introvert' dan lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Tetapi sekarang, dia sudah mampu menjadi hos.
"Saya sendiri pun belum tentu boleh buat (mengacara) kerana saya juga 'introvert'," katanya.
Mengulas usikan netizen yang menjodohkan mereka di media sosial, Aniq berkata, perkara itu membuktikan gandingan mereka dalam sebuah drama sebelum ini memberi kesan kepada penonton.
"Kalau orang jodohkan, bermakna lakonan kami menjadi. Keserasian itu sampai kepada penonton. Jadi, kalau ada rezeki untuk bekerjasama lagi pada masa hadapan, kami tidak akan kekok," katanya.
Dalam perkembangan lain, Aniq membintangi drama romantik komedi, Ate Kome, I Love You terbitan Viu yang mula bersiaran sejak 25 Jun lalu.
Drama 12 episod arahan Helmi Yusof itu mengangkat tema 'dendam lama, cinta baharu' dan turut dibintangi Bella Dowanna, Amy Mastura, Ieda Moin dan Nurel Baharin.
























