KUALA LUMPUR: Bergelar pendatang baharu dalam industri hiburan membuka mata penyanyi muda, Auddra Zulkifly atau Oddah untuk mengenali lebih dekat ramai penggiat seni yang sebelum ini hanya diketahui menerusi nama.
Oddah, 17, berkata pengalaman bergelar artis membuatkannya mula mengenali lebih ramai pelakon dan penyanyi senior, termasuk mereka yang kurang diketahuinya sebelum ini disebabkan faktor usia.
Menurutnya, ibunya yang juga penyampai radio dan pengacara banyak membantu memperkenalkannya kepada nama besar dalam industri hiburan tempatan.
"Sekarang apabila sudah menjadi artis, saya mula kenal ramai artis senior. Dulu Ameng Spring pun saya tidak kenal, tetapi apabila jumpa berdepan, barulah saya tahu, 'Oh, ini Ameng Spring'.
"Mama juga selalu pesan supaya saya kenal ramai artis. Dalam kereta pun mama selalu terangkan latar belakang artis kepada saya. Sebelum saya berlakon dengan sesiapa, saya akan tanya mama dulu," katanya ketika ditemui pada sesi apresiasi media Hotlink Geng Bijak Berbajet (GBB) Next Chapter di TV3 Common Area, Balai Berita, di sini, baru-baru ini.
Mengulas kemungkinan kenyataannya mengundang pandangan kurang senang kerana tidak mengenali sesetengah artis senior, Oddah berkata perkara itu tidak perlu dibimbangkan.
Katanya, situasi berkenaan bukan hanya berlaku kepadanya, malah turut dialami ramai generasi muda hari ini yang kurang terdedah kepada artis terdahulu.
"Saya tidak kisah kalau orang mahu cakap begitu kerana saya rasa bukan saya seorang yang melalui perkara ini. Ramai lagi dalam kalangan Generasi Z yang tidak mengenali artis senior," katanya.
Menurut Oddah, kebanyakan artis yang dikenalinya mempunyai kaitan dengan rakan atau kenalan ibu bapanya dalam industri seni.
Justeru, dia mengambil inisiatif membuat kajian mengenai latar belakang artis yang bakal bekerjasama dengannya sebagai persediaan dan menjaga profesionalisme.
"Saya tidak mahu memalukan nama mama saya. Jadi, walaupun saya tidak tahu, saya kena ambil tahu juga. Pengurus saya pun banyak membantu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Oddah bakal tampil menerusi siri travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet yang dikendalikan pelakon Kamal Adli.
Selain itu, penyanyi muda itu turut bakal melancarkan single sulung berjudul Gelanggang Rasa tidak lama lagi.
























