MUMBAI: Pelakon Bollywood, Dia Mirza mendakwa individu yang paling kerap mendesaknya mengubah penampilan fizikal bukan wanita, sebaliknya lelaki, lapor The Times of India.
Berkongsi pengalaman sepanjang bergelar anak seni, bintang Rehnaa Hai Terre Dil Mein itu dilaporkan berkata dia beberapa kali menerima cadangan menjalani prosedur kosmetik bagi memenuhi standard kecantikan industri.
Dia berkata, tidak pernah ada wanita yang menyuruhnya menebalkan bibir atau membesarkan payudara, sebaliknya semua cadangan sedemikian datang daripada lelaki.
"Sepanjang hidup, tidak pernah ada wanita yang duduk bersama saya dan berkata, 'Suntik bibir kerana terlalu nipis' atau 'Besarkan payudara kerana terlalu kecil'. Semua perkara itu datang daripada lelaki," katanya dalam temu bual bersama She The People, lapor portal berkenaan.
Dia mengakui komen sedemikian pernah membuatkannya mempersoalkan penampilan sendiri walaupun sudah meraih pelbagai kejayaan dalam kerjaya seni.
Mengulas lanjut, Dia menyifatkan masyarakat hari ini terlalu taksub mengejar kesempurnaan fizikal sehingga mengabaikan kesejahteraan emosi dan mental.
Katanya, kebanyakan perbincangan mengenai gaya hidup sihat lebih tertumpu kepada penampilan luaran berbanding keseimbangan dalaman yang membentuk kesihatan sebenar seseorang.
"Kita hidup dalam dunia yang terlalu materialistik apabila segala-galanya dinilai berdasarkan penampilan luaran. Sangat sedikit perhatian diberikan kepada kesejahteraan tubuh dan minda," katanya.
Pelakon filem Sanju itu berkata, kecergasan fizikal atau amalan seperti yoga tidak membawa makna sebenar jika tidak disertai ketenangan jiwa dan keseimbangan emosi.
Dalam pada itu, Dia turut dilaporkan menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan trend prosedur kosmetik yang disifatkannya semakin membimbangkan.
Menurutnya, ramai wanita terdorong mengubah penampilan selepas terlebih dahulu diyakinkan bahawa mereka mempunyai kekurangan.
"Penggerak utama industri itu ialah lelaki dan mereka menggerakkannya melalui ketakutan," katanya.
Dia berpendapat industri kosmetik sering mengambil kesempatan terhadap rasa tidak yakin wanita dengan menjanjikan keyakinan dan kebahagiaan menerusi perubahan fizikal, sedangkan ia tidak menyelesaikan punca sebenar masalah emosi.
Selain isu standard kecantikan, Dia turut mendakwa wujudnya sikap diskriminasi terhadap usia dalam industri hiburan.
Katanya, pujian seperti "awak masih kelihatan sama" mungkin kedengaran positif, namun secara tidak langsung menggambarkan tekanan masyarakat terhadap wanita supaya sentiasa mengekalkan wajah muda.
Dia berharap lebih ramai pihak menerima proses penuaan sebagai sesuatu yang semula jadi dan memberi keutamaan kepada kesejahteraan dalaman berbanding mengejar kesempurnaan fizikal.- AGENSI
























