BH Online
Ringkasan Berita

Elfira Loy belum tinggalkan dunia lakonan

KUALA LUMPUR: Mengurangkan aktiviti lakonan bukan bermakna pelakon Elfira Loy, 32, sudah melupakan dunia seni yang membesarkan namanya, sebaliknya keputusan itu dibuat demi memberi ruang kepada tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Elfira Loy belum tinggalkan dunia lakonan

Elfira mengakui rindu untuk kembali berlakon, namun mahu menunggu masa yang lebih sesuai. - Foto NSTP/ Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Mengurangkan aktiviti lakonan bukan bermakna pelakon Elfira Loy, 32, sudah melupakan dunia seni yang membesarkan namanya, sebaliknya keputusan itu dibuat demi memberi ruang kepada tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri berkata, keutamaan hidupnya ketika ini adalah memastikan keperluan dua cahaya mata yang berusia tujuh dan empat tahun mendapat perhatian sepenuhnya.

Katanya, dia bukan bersikap terlalu memilih naskhah, namun mahu memastikan kehidupannya lebih seimbang sebelum kembali aktif dalam bidang lakonan.

"Saya bukan terlalu selektif, tetapi keutamaan saya sekarang adalah anak-anak. Alhamdulillah, jadual saya kini sudah lebih teratur dan saya boleh menguruskan masa dengan lebih baik.

"Kalau ada tawaran sesuai, mungkin saya akan mula kembali berlakon," katanya ketika ditemui pada acara Blossom Rally Pickleball 2026 anjuran Akademi Sang Putra dengan kerjasama Persatuan Pickleball Putrajaya di Tomaz Pickleball Club, di sini, baru-baru ini.

Pelakon drama Tentang Bulan The Series itu mengakui bukan mudah untuk memperlahankan rentak dalam bidang lakonan yang diceburinya sejak kecil.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu dibuat dengan hati terbuka kerana mahu menikmati pengalaman membesarkan anak-anak yang masih kecil.

"Sebenarnya memang sayang juga apabila mengurangkan aktiviti lakonan. Tetapi kita perlu ada keutamaan kerana tidak mampu mendahulukan semua perkara dalam satu masa.

"Saya sudah lebih 10 tahun berada dalam bidang ini, tetapi pengalaman menjadi seorang ibu masih baharu.

"Buat masa ini saya mahu menghargai fasa itu dahulu. Apabila saya benar-benar sudah stabil sebagai ibu, mungkin saya akan membuka semula peluang untuk bekerja," katanya.

Dalam pada itu, Elfira menafikan tanggapan kononnya dia sudah bosan dengan dunia lakonan selepas sekian lama bergelar anak seni.

Katanya, setiap naskhah menawarkan pengalaman berbeza, termasuk dari segi jalan cerita, lokasi penggambaran dan rakan kerja.

"Saya tidak pernah rasa bosan kerana setiap cerita berbeza. Lokasi penggambaran juga berbeza dan orang yang kita bekerjasama sentiasa berubah.

"Sekarang ini ramai pelakon muda yang sangat berbakat. Ada antara mereka yang saya sendiri belum pernah bekerjasama.

"Jadi, saya juga teruja untuk meneroka peluang berlakon bersama mereka," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan