KUALA LUMPUR: Penyanyi kacukan Malaysia-Filipina Yazmin Aziz terus mengukuhkan nama di persada antarabangsa apabila menerima jemputan khas membuat persembahan pada festival kebudayaan bertaraf antarabangsa di Mongolia.
Penyanyi berusia 24 tahun itu bakal mewakili Malaysia pada ARA Fest 2026, antara festival kebudayaan terbesar di Mongolia yang berlangsung sepanjang bulan ini di Kompleks ARA, Arkhangai Aimag.
Jemputan itu diterima daripada penyanyi terkenal Mongolia, Bayartsengel, iaitu penyanyi asal lagu Chigi Tigi Boom, selepas tertarik dengan persembahan Yazmin ketika mewakili Malaysia pada pertandingan Silk Way Star di Kazakhstan, tahun lalu.
Turut menjayakan festival berkenaan ialah Bayartsengel dan juara Silk Way Star 2025, Michelle Joseph, sekali gus menjadi satu lagi detik penting dalam perkembangan kerjaya antarabangsa Yazmin.
Pencapaian itu hadir beberapa bulan selepas Yazmin mencipta sejarah apabila diberi peluang membuat persembahan di platform muzik antarabangsa, Wish Bus, selain mara ke pentas akhir Singer Malaysia, pertandingan nyanyian berbahasa Mandarin berprestij.
Lebih membanggakan, kejayaan itu diraih walaupun Yazmin bukan penutur bahasa Mandarin dan perlu bekerja keras menguasai sebutan, memahami maksud lirik serta menyampaikan emosi setiap lagu.
"Saya sangat bersyukur dapat mara ke pentas akhir. Cabaran terbesar saya ialah bahasa kerana saya bukan penutur Mandarin.
"Saya ambil masa memahami sebutan, maksud setiap lirik dan emosi di sebalik lagu kerana bagi saya, penyampaian cerita itu sangat penting," katanya kepada BH Online.
Yazmin berkata, beliau mendapatkan bantuan rakan yang fasih berbahasa Mandarin, guru vokal serta menjalani latihan berulang kali kerana percaya bahasa hanyalah medium, manakala emosi dalam muzik bersifat universal.
Tambahnya, bagi memudahkan proses pembelajaran, beliau akan menterjemahkan setiap lirik ke bahasa yang lebih difahami sebelum menghayati maksudnya dan mengaitkannya dengan pengalaman sendiri.
"Lagu Mandarin ialah bahasa kelapan yang saya nyanyikan di atas pentas. Ia memang tidak mudah, tetapi saya mahu terus mencabar diri," katanya.
Mengulas pentas akhir Singer Malaysia, Yazmin berkata, beliau bakal menampilkan kelainan apabila bukan sahaja menyanyi dalam bahasa Mandarin, malah, turut menari bagi membuktikan kekuatan penyanyi terletak pada keupayaan menyampaikan emosi.
Mengenai jemputan ke Mongolia, Yazmin mengakui tidak menyangka persembahannya dalam bahasa Mongolia di Silk Way Star membuka peluang itu dan percaya usaha menghormati budaya tempatan sentiasa dihargai.
"Walaupun sebutan saya ketika itu tidak begitu tepat, mereka memahami bahasa Mongolia bukan mudah dipelajari. Jemputan ini sangat bermakna kerana membuktikan muzik benar-benar bersifat universal," katanya.
Sepanjang berada di Mongolia, Yazmin berharap dapat mengenali budaya negara itu dengan lebih dekat selain terbuka untuk bekerjasama dengan Bayartsengel sekiranya diberi peluang pada masa depan.
Menurut Yazmin, disiplin menjadi kunci mengimbangi jadual padat, manakala latar belakang sebagai anak kacukan Malaysia-Filipina menjadikannya lebih terbuka mempelajari bahasa dan budaya baharu.
"Saya sentiasa membawa identiti Malaysia setiap kali membuat persembahan di luar negara kerana saya bangga dengan warisan yang saya miliki," katanya.
























