KUALA LUMPUR: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan seni negara apabila menganjurkan Festival Teater Antarnusa 2026 (FTA 2026) yang menjadi platform pertukaran ilmu, apresiasi budaya dan pengembangan seni teater kontemporari di peringkat serantau.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, festival anjuran Fakulti Teater ASWARA itu berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 19 Julai di Kampus ASWARA, Kuala Lumpur, dengan menghimpunkan penggiat teater, akademia dan anak seni dari lima negara Nusantara.
Bertemakan 'Tanda. Temu. Tamu', festival itu menjadi wadah interaksi budaya yang mengetengahkan kepelbagaian estetika seni persembahan serta membuka ruang perkongsian ilmu, idea dan pengalaman dalam kalangan penggiat teater serantau.
Festival itu bakal dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, di Dewan Orkestra ASWARA, di sini, malam ini.
Sepanjang penganjuran, orang ramai berpeluang mengikuti pelbagai pengisian bermula jam 9 pagi hingga 10 malam, termasuk bengkel teater, sesi Work in Progress, persembahan monodrama Kedai Cerita Runcit dan showcase teater kontemporari.
Bengkel teater dikendalikan barisan seniman serantau bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik dan perkembangan seni persembahan, manakala sesi Work in Progress mengetengahkan proses kreatif di sebalik pembikinan karya baharu.
Turut menjadi tarikan ialah Kedai Cerita Runcit, siri monodrama berkonsepkan site-specific yang membawa pengalaman menonton teater dalam ruang bukan konvensional sambil menggalakkan dialog seni serta pertukaran idea dalam komuniti kreatif.
Festival itu turut menampilkan showcase teater kontemporari membabitkan kumpulan dan artis jemputan dari dalam serta luar negara.
Penganjuran FTA 2026 mencerminkan komitmen ASWARA memperkasa pendidikan seni bukan sahaja dalam bidang akademik, malah sebagai pemangkin pembangunan industri seni kreatif yang lebih progresif dan berdaya saing.
Festival itu juga selaras aspirasi Malaysia MADANI serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi pengukuhan sektor pelancongan budaya, di samping memperkenalkan keunikan seni teater tempatan kepada masyarakat antarabangsa.
Semua program adalah percuma kecuali showcase yang dikenakan bayaran tiket RM10. Orang ramai disaran membuat tempahan lebih awal di platform Cloudjoi berikutan kapasiti tempat yang terhad.
























