BH Online
Ringkasan Berita

Orang jual pisang goreng pun kena kecam, Nabil enggan layan kritikan

KUALA LUMPUR: Pengacara Nabil Ahmad memilih tidak mengambil peduli kecaman netizen berhubung gurauannya terhadap salah seorang peserta program Big Stage X Rocketfuel, Sabrina, baru-baru ini.
Orang jual pisang goreng pun kena kecam, Nabil enggan layan kritikan

Nabil enggan melayan kritikan netizen dan percaya setiap publisiti yang hadir pasti mempunyai hikmah tersendiri. Foto HM Online

KUALA LUMPUR: Pengacara Nabil Ahmad memilih tidak mengambil peduli kecaman netizen berhubung gurauannya terhadap salah seorang peserta program Big Stage X Rocketfuel, Sabrina, baru-baru ini.

Nabil atau nama sebenar, Ahmad Nabil Ahmad, 43, menjelaskan apa sahaja yang berlaku sepanjang program siaran langsung itu adalah sebahagian daripada program dan tiada kaitan dengan isu peribadi.

"Bagi saya, semua kena belajar terima ini sekadar hiburan, tak payah nak ambil serius sangat. Saya pun ada kerja kena buat, memang pihak produksi setuju dan saya pun setuju.

"Semua itu ada dalam persembahan. Apa yang saya buat dalam persembahan tidak ada kena-mengena dengan hal peribadi," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, kecoh di platform Threads apabila netizen meluahkan rasa kurang senang dengan mendakwa pelawak itu sengaja memalukan serta menjatuhkan semangat Sabrina ketika sesi penyingkiran.

Mengulas lanjut, Nabil ketika dihubungi mendedahkan dia sendiri tidak mengetahui mengenai penularan isu berkenaan kerana tidak mempunyai akaun Threads.

Malah, bekas juara Raja Lawak ini memilih untuk tidak memuat turun aplikasi berkenaan demi menjaga kesihatan mentalnya daripada dipenuhi komen-komen negatif.

""Saya syukur sangat saya tak ada (akaun) Threads. Saya tidak ambil tahu sebab saya nak jaga kesihatan mental saya. Saya hanya buat kerja saya sahaja.

"Selagi pihak produksi bagi peluang dekat saya, saya bersyukur masih ada peluang untuk terus bekerja dalam industri kreatif," katanya.

Tambah Nabil, dia enggan melayan kritikan netizen dan percaya setiap publisiti yang hadir pasti mempunyai hikmah tersendiri.

"Dari dahulu lagi saya selalu cakap, 'any publicity is good publicity'. Ia sebahagian daripada persembahan dan kerjaya.

"(Platform) Threads itu memang tempat orang main-main, tak nyata. Orang jual pisang goreng pun kena kecam. Jadi bagi saya, apa yang ada dekat situ tak penting.

"Apa yang penting ialah rancangan sebenar, persembahan secara langsung dan peserta-peserta yang saya bersama mereka sejak sesi latihan," katanya.

Ditanya sama ada dia sempat bertemu dan memohon maaf kepada Sabrina selepas tamat konsert, Nabil memaklumkan kekangan masa menghalang perkara itu daripada berlaku.

"Tidak jumpa (Sabrina). Mereka terus dibawa ke tempat lain. Saya pula lepas habis rancangan terus balik sebab esok pagi ada siaran radio," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan