BH Online
Ringkasan Berita

Madonna cipta sejarah raih album No 1 ke-10 di carta Billboard 200

NEW YORK: Ratu Pop, Madonna, terus mengukuhkan legasi apabila meraih album nombor satu (No 1) ke-10 dalam carta Billboard 200 menerusi album studio terbaharu, Confessions II.
Madonna cipta sejarah raih album No 1 ke-10 di carta Billboard 200

Madonna melancarkan album Confessions II pada 3 Julai lalu, sekali gus menjadi album studio pertama Madonna sejak Madame X yang diterbitkan pada 2019. Foto IG Madonna

NEW YORK: Ratu Pop, Madonna, terus mengukuhkan legasi apabila meraih album nombor satu (No 1) ke-10 dalam carta Billboard 200 menerusi album studio terbaharu, Confessions II.

Album itu membuat penampilan sulung di tangga teratas carta bertarikh 18 Julai mengikut jadual sistem carta Billboard, sekali gus menghadiahkan Madonna album nombor satu pertama dalam dekad 2020-an.

Kejayaan itu turut menyaksikan Madonna yang bakal menginjak usia 68 tahun pada 16 Ogos ini, menjadi artis pertama yang berjaya menduduki carta nombor satu pada dekad ini selepas pernah melakukannya dalam tiga dekad terdahulu, lapor Billboard.

Lebih membanggakan, Madonna kini muncul artis keempat dalam sejarah yang memiliki sekurang-kurangnya 10 album No 1 di carta Billboard 200 dan 10 lagu No 1 di carta Billboard Hot 100. Sepanjang kariernya, Madonna mengumpul 12 lagu yang pernah menduduki tangga teratas carta Hot 100.

Menurut data Luminate, Confessions II mencatat 134,000 unit album bersamaan di Amerika Syarikat (AS) bagi minggu berakhir 9 Julai. Pencapaian itu menjadikannya album genre tarian dengan minggu jualan terbesar bagi tahun ini.

Album Confessions II juga mencatat minggu terbaik Madonna daripada segi jumlah unit, sejak Billboard menggunakan sistem penarafan berdasarkan unit album bersamaan pada Disember 2014. Selain itu, album Confessions II merekodkan jumlah penstriman mingguan tertinggi sepanjang kariernya serta jualan fizikal terbaik dalam tempoh lebih sedekad.

Confessions II ialah sekuel kepada album Confessions on a Dance Floor terbitan 2005 yang turut menduduki tangga teratas carta. Album itu menyatukan semula Madonna dengan kolaborator utamanya ketika itu, deejay, penulis dan penerbit, Stuart Price.

Album Confessions II diumumkan pada 15 April lalu sebelum dilancarkan pada 3 Julai, sekali gus menjadi album studio pertama Madonna sejak Madame X yang diterbitkan pada 2019. Pelancarannya didahului single Bring Your Love yang menampilkan Sabrina Carpenter.

Daripada keseluruhan 134,000 unit album bersamaan yang direkodkan pada minggu pertama, sebanyak 114,000 unit disumbangkan menerusi jualan album fizikal dan digital, 19,000 unit melalui penstriman bersamaan album (SEA) bersamaan 20.1 juta strim rasmi, manakala 1,000 unit lagi diperoleh menerusi jualan lagu individu (TEA), lapor Billboard.

Kejayaan jualan minggu pertama turut dipacu pelbagai edisi koleksi yang ditawarkan, termasuk 15 versi vinyl atau piring hitam, empat edisi cakera padat (CD), satu kaset dan enam edisi muat turun digital. Sebanyak 59,000 unit daripada jumlah jualan keseluruhan adalah vynil, sekali gus menjadi rekod jualan vynil terbesar Madonna dalam era moden sejak data jualan mula direkodkan secara elektronik pada 1991.

Confessions II juga menjadi album No 1 pertama Madonna dalam dekad 2020-an selepas beliau meraih tiga album No 1 pada era 1980-an, empat pada dekad 2000-an dan dua lagi sepanjang 2010-an.

Secara keseluruhan, Confessions II ialah album Top 10 Madonna yang ke-24. Hanya beberapa legenda muzik mempunyai lebih banyak album Top 10, termasuk The Rolling Stones (38), Barbra Streisand (34), The Beatles dan Frank Sinatra (32), serta Elvis Presley (27). - AGENSI

INFO

10 album No 1 Madonna di carta Billboard 200:

Confessions II (2026)

Madame X (2019)

MDNA (2012)

Hard Candy (2008)

Confessions on a Dance Floor (2005)

American Life (2003)

Music (2000)

Like a Prayer (1989)

True Blue (1986)

Like a Virgin (1985)

Video Terkini

Berita Berkaitan