MUMBAI: Penyanyi legenda India, S Janaki yang digelar 'Burung Bulbul dari India Selatan' atau 'Nightingale of South India' atas kemerduan suaranya, dilapor meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat serangan jantung, malam tadi.
Mendiang Janaki dilapor menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Apollo, Mysuru, Karnataka, India.
Menurut kenyataan rasmi Hospital Apollo, mendiang Janaki dimasukkan ke hospital pada jam 12.49 tengah hari semalam, dalam keadaan kritikal sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.
"Walaupun diberikan rawatan rapi dan dipantau secara berterusan oleh pasukan perubatan pelbagai disiplin, Janaki mengalami serangan jantung ketika menjalani rawatan.
"Pasukan perubatan segera menjalankan prosedur bantuan pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) mengikut protokol perubatan. Namun, beliau mengalami beberapa lagi serangan jantung dan gagal diselamatkan.
"Janaki disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 malam tadi (kira-kira jam 10 malam waktu tempatan)," menurut kenyataan itu, lapor The Times of India.
Mesra disapa Janaki Amma, penyanyi tersohor itu pernah menolak anugerah Padma Bhushan, iaitu antara anugerah awam tertinggi di India pada 2013 kerana berpendapat penghargaan berkenaan diberikan terlalu lewat.
Mendiang Janaki juga pernah menyuarakan hasrat agar sumbangan lebih enam dekadnya kepada industri muzik India diiktiraf menerusi Bharat Ratna, iaitu anugerah awam tertinggi negara itu.
Sepanjang karier seninya, mendiang Janaki memenangi empat Anugerah Filem Kebangsaan India selain meraih 33 Anugerah Filem Negeri dalam pelbagai bahasa, sekali gus menjadikannya antara penyanyi latar paling berjaya dalam sejarah industri muzik India.
Mendiang Janaki memulakan kerjaya sebagai penyanyi latar pada 1957 sebelum muncul sebagai antara suara paling berpengaruh di India.
Sepanjang lebih enam dekad berkarya, mendiang Janaki menjalin kerjasama erat dengan komposer terkenal, Ilaiyaraaja serta penyanyi legenda, S P Balasubrahmanyam, menghasilkan pelbagai lagu malar segar dalam pelbagai bahasa.
Mendiang Janaki merakamkan lagu dalam lebih 20 bahasa sepanjang kerjayanya, namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan masalah kesihatan akibat faktor usia.
Atas sumbangannya yang besar kepada dunia muzik, mendiang Janaki turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Karnataka Rajyotsava Award, Padma Bhushan, selain dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat oleh Universiti Mysore.
Mendiang Janaki berkahwin dengan V Ramaprasad pada 1959. Selepas pemergian suaminya, beliau menetap di Hyderabad sehingga akhir hayat.
Berita pemergian Janaki mengundang kesedihan ramai apabila tokoh politik dan penggiat seni termasuk Rajinikanth, Kamal Haasan serta Ketua Menteri Andhra Pradesh, Vijay Joseph, menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan atas jasa besar beliau kepada industri muzik India. - AGENSI
























