BH Online
Ringkasan Berita

Semua cerita menyakitkan hadir bersama hikmah - Fazura

KUALA LUMPUR: Membawa bekal pengalaman dan kejayaan daripada karya terdahulu, Nur Fazura kembali membuka lembaran baharu dalam perjalanan muziknya menerusi single terbaharu, Kisah Terbaik.
Semua cerita menyakitkan hadir bersama hikmah - Fazura

Fazura berharap Kisah Terbaik menjadi teman serta sumber kekuatan kepada pendengar yang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan. Foto ihsan Universal Music Malaysia

KUALA LUMPUR: Membawa bekal pengalaman dan kejayaan daripada karya terdahulu, Nur Fazura kembali membuka lembaran baharu dalam perjalanan muziknya menerusi single terbaharu, Kisah Terbaik.

Balada sarat emosi itu menjadi cerminan jiwa tentang penerimaan, kekuatan diri dan harapan untuk terus melangkah ke hadapan selepas menempuh pelbagai liku kehidupan.

Fazura berkata, Kisah Terbaik bukan sekadar berkisar mengenai cinta, sebaliknya membawa mesej yang lebih universal mengenai penerimaan terhadap setiap pengalaman hidup sebagai proses membentuk diri.

"Bagi saya, Kisah Terbaik bukan sekadar mengenai cinta, tetapi menerima setiap pengalaman yang membentuk diri kita.

"Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat sesiapa yang sedang melalui fasa melepaskan sesuatu dan memulakan lembaran baharu," katanya dalam kenyataan.

Lagu itu adalah hasil kolaborasi bersama komposer, penulis lirik dan penerbit, Aiman Sidek serta Reza Ramsey.

Menurut Fazura, proses pembikinan lagu berkenaan berlangsung dalam suasana yang terbuka dan penuh kepercayaan sehingga setiap emosi dapat diterjemahkan secara jujur ke dalam karya itu.

"Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang mengenai emosi yang ingin disampaikan, manakala Aiman dan Reza benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan.

"Mereka memberi ruang untuk saya berkongsi pandangan dan pengalaman, sekali gus menjadikan lagu ini begitu peribadi dan ikhlas," katanya.

Dari sudut susunan muzik, Fazura menyifatkan Kisah Terbaik mempunyai perjalanan emosi yang berkembang secara berperingkat daripada rasa rapuh kepada kekuatan dan harapan.

"Saya rasa lagu ini mempunyai perjalanan emosi yang sangat indah. Ia bermula dengan rasa yang lembut dan rapuh, kemudian berkembang menjadi lebih besar serta penuh harapan.

"Susunan muziknya benar-benar menyokong jalan cerita lagu ini. Bagi saya, inilah antara karya yang paling dekat dengan diri," katanya.

Berkongsi hubungan peribadinya dengan lagu berkenaan, Fazura mengakui setiap pengalaman hidup yang pernah dilalui menjadikan dirinya lebih dekat dengan mesej yang ingin disampaikan.

"Saya percaya setiap orang melalui fasa jatuh dan bangun, begitu juga saya. Banyak pengalaman mengajar saya mengenai kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang sudah ditentukan.

"Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah," ujarnya.

Fazura berharap Kisah Terbaik mampu menjadi teman serta sumber kekuatan kepada pendengar, terutama mereka yang sedang berdepan detik sukar dalam kehidupan.

"Harapan saya sangat sederhana. Saya berharap Kisah Terbaik dapat menyentuh hati pendengar dan memberi sedikit ketenangan kepada mereka yang sedang melalui waktu-waktu sukar.

"Jika lagu ini mampu membuat seseorang berasa difahami atau memberi harapan untuk terus melangkah, itu sudah menjadi hadiah yang sangat bermakna buat saya," katanya.

Single berkenaan kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.

Video Terkini

Berita Berkaitan