LOS ANGELES: Sir Anthony Hopkins membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mengejar impian apabila bintang legenda Hollywood itu melancarkan rakaman muzik pertamanya pada usia 88 tahun.
Hopkins yang terkenal menerusi watak pembunuh kanibal yang juga pencinta muzik klasik, Hannibal Lecter dalam filem The Silence of the Lambs, membuat penampilan sulung dalam dunia muzik melalui single orkestra berjudul Bracken Road.
Karya itu diinspirasikan daripada kenangan zaman kanak-kanak Hopkins ketika membesar di Margam, selatan Wales, dengan landskap ladang, padang rumput dan banjaran gunung yang mengelilingi kediaman keluarganya pada era 1940-an. Hasilnya ialah sebuah karya yang menyentuh perasaan, sarat nostalgia dan diserikan dengan pengaruh muzik blues yang halus, lapo
Melodi piano itu pada asalnya dicipta sebagai sebuah lagu ketika Hopkins bertugas di Liverpool Playhouse pada 1963 apabila beliau sering berimprovisasi menggunakan piano tegak di belakang pentas sebelum sesi latihan. Susunan orkestra pula dipersembahkan oleh Philharmonia Orchestra di bawah pimpinan konduktor pemenang Anugerah Grammy, Gustavo Dudamel, dengan gabungan bunyi trompet senyap, klarinet dan alunan romantik instrumen bertali sebagai penghormatan kepada gerakan megah Symphony No. 1 karya Edward Elgar.
Karya berkenaan dimuatkan dalam album muzik klasik pertama Hopkins yang mengandungi 12 lagu berjudul Life is a Dream dan dijadual dilancarkan bulan depan. Album itu diterbitkan oleh Decca Classics, syarikat rakaman pertama yang mengikat kontrak bersama Hopkins.
Walaupun memulakan kerjaya lakonan hampir 70 tahun lalu serta meraih dua Anugerah Oscar, empat Anugerah BAFTA dan pelbagai pengiktirafan lain, Hopkins mengakui muzik sebenarnya adalah "cinta pertamanya".
"Saya mengubah lagu sepanjang hidup saya. Ada karya yang menemani saya selama beberapa dekad dan saya masih kembali menghayatinya sehingga hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, melodi yang lembut dan bernuansa blues itu mendapat inspirasi daripada balada perlahan Harry James Orchestra dan Jackie Gleason.
Album penuh itu menghimpunkan rakaman asal karya ciptaan Hopkins sepanjang enam dekad, termasuk My Fatherland, yang didedikasikan kepada permulaan hidupnya yang sederhana di Wales.
"Saya anak kepada seorang pembuat roti," katanya sambil menyifatkan peluang menandatangani kontrak bersama Decca sebagai "penghormatan terbesar dalam hidup".
Presiden Decca, Laura Monks, berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Hopkins menghasilkan album berkenaan.
"Bakat luar biasa serta pengetahuan mendalam beliau mengenai muzik klasik yang diasah sepanjang hayat wajar diraikan menerusi album ini.
"Menyaksikan karya-karya hebatnya dihidupkan ketika sesi rakaman di London bersama Gustavo Dudamel dan Philharmonia Orchestra adalah pengalaman yang hanya datang sekali seumur hidup dan kami tidak sabar memperkenalkannya kepada dunia," katanya.
Hopkins menamatkan pengajian di Royal Welsh College of Music & Drama pada 1957 sebelum menyambung pengajian di Royal Academy of Dramatic Art. Beliau kemudian menarik perhatian Sir Laurence Olivier yang menjemputnya menyertai Royal National Theatre sebagai pelakon gantian.
Sepanjang lebih tujuh dekad berkarya, Hopkins membintangi pelbagai karya yang mendapat pengiktirafan termasuk The Lion in Winter, The Great Inimitable Mr Dickens, War and Peace dan The Bunker. Lakonannya sebagai Adolf Hitler dalam filem The Bunker (1981) melayakkan beliau memenangi Anugerah Emmy.
Beliau akhirnya memenangi Anugerah Akademi pertamanya pada 1992 menerusi watak Hannibal Lecter dalam The Silence of the Lambs sebelum kembali membawakan watak sama dalam sekuelnya, Hannibal, sembilan tahun kemudian. Selepas menerima empat lagi pencalonan Oscar, Hopkins meraih trofi Oscar kedua pada 2021 menerusi lakonannya sebagai lelaki berusia 80-an yang menghidap demensia dalam filem The Father.
Tahun lalu, Hopkins menerbitkan memoir pertamanya yang mengisahkan kehidupan awalnya di Port Talbot, perjuangannya menentang ketagihan alkohol serta pengalaman di lokasi penggambaran bersama Paul Sorvino ketika membintangi filem Nixon pada 1996.











_1783730388.jpg)












