BH Online
Ringkasan Berita

Hati Catherine Zeta-Jones luluh kehilangan Bonnie Tyler

LOS ANGELES: “Hati saya hancur…”
Hati Catherine Zeta-Jones luluh kehilangan Bonnie Tyler

Zeta-Jones meluahkan kesedihan atas pemergian Tyler yang juga ahli keluarganya. - Foto IG catherinezetajones

LOS ANGELES: "Hati saya hancur…"

Demikian luahan hiba pelakon Hollywood, Catherine Zeta-Jones yang berkongsi kesedihan susulan pemergian penyanyi legenda Wales, Bonnie Tyler, yang meninggal dunia pada usia 75 tahun di sebuah hospital di Portugal pada 8 Julai lalu akibat komplikasi penyakit yang sedang dirawat, lapor BBC.

Menerusi hantaran di Instagram, pemenang Anugerah Oscar itu dilapor mendedahkan hubungannya dengan Tyler bukan sekadar sebagai rakan dalam industri hiburan, malah mereka mempunyai pertalian keluarga.

Menurut Zeta-Jones, suami Tyler, Robert Sullivan, adalah sepupunya, sekali gus menjadikan penyanyi lagu Total Eclipse of the Heart itu sebahagian daripada keluarganya.

"Foto ini dirakamkan pada malam sebelum majlis perkahwinan saya dengan Michael Douglas pada tahun 2000. Bonnie membuat persembahan dan menghiburkan tetamu di majlis perkahwinan kami.

"Dia wanita luar biasa dengan vokal yang tiada tandingan. Seorang artis yang cukup unik dan pada masa sama antara individu paling kelakar pernah saya kenali.

"Terima kasih atas segala kegembiraan yang awak berikan kepada begitu ramai orang," tulisnya, lapor BBC.

Zeta-Jones turut dilapor menyampaikan ucapan takziah kepada Sullivan dan seluruh keluarga Tyler.

"Berehatlah dengan tenang. Kami akan sentiasa mengenangmu di bumi Wales. Salam kasih buat Robert dan seluruh keluarga. Tuhan memberkati," katanya.

Tyler mendirikan rumah tangga dengan Sullivan pada Julai 1973 dan kekal bersama sehingga penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir.

Dalam temu bual bersama BBC pada 2001, Tyler pernah berkongsi pengalaman membuat persembahan pada majlis perkahwinan Zeta-Jones dan Michael Douglas.

Katanya, dia menyampaikan lagu malar segar Total Eclipse of the Heart sekitar tengah malam sebelum hanya menikmati hidangan selepas selesai membuat persembahan.

Pemergian Tyler diumumkan keluarganya pada 9 Julai, sehari selepas penyanyi legenda itu meninggal dunia di sebuah hospital di Portugal akibat komplikasi penyakit yang sedang dirawat.

Sebelum itu, Tyler dimasukkan ke hospital selepas menjalani pembedahan kecemasan membabitkan usus dan pernah diletakkan dalam koma bagi membantu proses rawatan.

Pada pertengahan Jun lalu, keluarganya memaklumkan Tyler sudah sedar daripada koma, namun masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaannya dilaporkan belum stabil meskipun menunjukkan perkembangan positif. - AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan