LONDON: Suara garau yang menjadi identiti penyanyi legenda Wales, Bonnie Tyler, sehingga mudah dikenali peminat seluruh dunia sebenarnya tercetus daripada satu kejadian tidak diduga, lapor Reuters.
Selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kecil pada pita suara pada 1977, Tyler dilapor diarahkan berehat dan tidak menggunakan suaranya buat sementara waktu.
Namun, satu kejadian apabila dia menjerit kerana marah menyebabkan perubahan kekal pada vokalnya.
Enam tahun kemudian, suara serak yang unik itu menjadi kekuatan utama menerusi lagu ikonik Total Eclipse of the Heart yang melonjakkan namanya ke persada antarabangsa, selain menerima pencalonan Anugerah Grammy.
Penyanyi yang turut popular menerusi lagu Holding Out for a Hero, It's a Heartache dan Lost in France itu dilaporkan meninggal dunia pada usia 75 tahun, menurut laporan BBC News.
Dilahirkan sebagai Gaynor Hopkins di selatan Wales pada 1951, mendiang adalah anak keempat daripada enam beradik kepada pasangan bapa yang bekerja sebagai pelombong arang batu dan ibu suri rumah.
Beliau membesar dalam keluarga sederhana di perkampungan Skewen, berhampiran Swansea, sebelum namanya dikenali sebagai antara penyanyi wanita paling berpengaruh dalam muzik pop Britain.
Muzik menjadi sebahagian besar dalam hidup Tyler sejak kecil, sama ada menerusi lagu daripada radio mahupun dendangan ibunya yang gemar menyanyi ketika melakukan kerja rumah.
Pada usia tujuh tahun, mendiang Tyler mula menyimpan impian bergelar penyanyi selepas menonton muzikal di gereja tempatan yang menampilkan lagu Irving Berlin, There's No Business Like Show Business.
Walaupun mengakui dirinya seorang yang pemalu, Tyler berkata keinginan untuk menyanyi sentiasa tersimpan dalam dirinya.
"Saya terlalu pemalu untuk bersuara, tetapi jauh di sudut hati saya sentiasa menyimpan impian untuk menyanyi di hadapan khalayak," katanya menerusi memoir Straight from the Heart.
Tyler memulakan kerjaya sebagai penyanyi latar ketika remaja sebelum menghasilkan beberapa album solo pada era 1970-an.
Bagaimanapun, kejayaan komersial sebenar hadir pada awal 1980-an apabila dia bekerjasama dengan penulis lagu Amerika Syarikat, Jim Steinman, yang terkenal menerusi album Bat Out of Hell nyanyian Meat Loaf.
Tyler menarik perhatian Steinman selepas menghantar rakaman demo lagu rock dramatik yang dianggap sesuai dengan karakter vokalnya.
Mengimbau kali pertama mendengar ciptaan Steinman berjudul Total Eclipse, Tyler berkata dia mengetahui lagu itu adalah karya yang dinantikan sepanjang hidupnya.
"Ini ialah lagu yang saya tunggu sepanjang hidup saya," katanya, lapor Reuters.
Lagu berkenaan kemudiannya menduduki carta nombor satu di Britain dan Amerika Syarikat, selain menjadi karya yang mengukuhkan reputasi Tyler sebagai penyanyi dengan suara unik.
Total Eclipse of the Heart bukan sahaja menjadi kejayaan komersial, malah terus hidup merentas generasi apabila digunakan dalam pelbagai filem, siri televisyen dan kempen pengiklanan.
Lagu itu kini mencatat lebih satu bilion penstriman di Spotify selain digunakan dalam filem seperti Old School dan Bandits, siri televisyen Glee serta Grey's Anatomy.
Kejayaan itu turut disusuli lagu Holding Out for a Hero yang mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang penyanyi wanita dengan identiti muzik tersendiri.
Mendian Tyler dilapor turut mengakui tidak begitu menyukai nama kelahirannya, Gaynor Hopkins.
Ketika ditanya mengenai asal usul nama pentasnya, dia memberitahu BBC Radio Wales bahawa nama Bonnie Tyler tercipta selepas dia menyenaraikan beberapa nama pertama dan nama keluarga yang ditemuinya dalam sebuah akhbar sebelum menggabungkan kedua-duanya.
Hasil gabungan itu akhirnya melahirkan nama pentas yang menjadi identiti ikoniknya sepanjang lebih lima dekad dalam industri muzik.
"Dan ia ternyata nama yang sangat hebat," katanya.
Bermula era 1990-an, Tyler menikmati kejayaan lebih besar di beberapa negara Eropah termasuk Norway, Austria dan Perancis.
Pada 2013, dia mewakili Britain dalam pertandingan Eurovision Song Contest sebelum menerima anugerah Member of the Order of the British Empire (MBE) pada 2022 atas sumbangan terhadap dunia muzik.
Tyler berkahwin dengan pemaju hartanah, Robert Sullivan pada 1973 dan pasangan itu kekal bersama sehingga akhir hayatnya walaupun tidak dikurniakan cahaya mata. - AGENSI
























