SEOUL: Kumpulan legenda K-pop, BigBang bakal kembali menghangatkan industri muzik global dengan lagu baharu selepas empat tahun, sekali gus mencetuskan keterujaan peminat di seluruh dunia.
Menurut laporan media Korea Selatan, kumpulan yang dianggotai G-Dragon, Taeyang dan Daesung itu dijangka memulakan penggambaran video muzik serta kandungan promosi lagu baharu dalam bulan ini sebagai persediaan untuk kemunculan semula mereka.
Lagu berkenaan menjadi karya pertama BigBang sebagai sebuah kumpulan sejak melancarkan single digital Still Life pada 2022 yang mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia.
Kemunculan semula itu turut mencuri perhatian apabila ketiga-tiga anggota kembali bergabung selepas memberi tumpuan kepada kerjaya solo sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, album solo G-Dragon, Ubermensch, yang dilancarkan tahun lalu turut menampilkan lagu Home Sweet Home nyanyian bersama Taeyang dan Daesung, sekali gus membuktikan keserasian mereka masih utuh.
Selain pelancaran lagu baharu, BigBang turut mengumumkan jelajah dunia sempena ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.
Jelajah berkenaan akan membuka tirai menerusi konsert BIGBANG 2026 WORLD TOUR IN GOYANG selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Ogos ini di Kompleks Sukan Goyang, Korea Selatan.
Jelajah itu juga menandakan konsert solo dunia pertama Big Bang dalam tempoh sembilan tahun.
Bermula di Korea Selatan, Big Bang dijadual mengadakan 32 konsert di 18 bandar merangkumi Amerika Utara, Eropah, Oceania dan Asia, manakala destinasi lain akan diumumkan kemudian.
Sambutan peminat terhadap konsert itu juga membuktikan pengaruh BigBang masih kukuh apabila lebih 210,000 peminat dilaporkan memasuki sistem jualan tiket pada hari pertama jualan umum menerusi aplikasi Coupang Play.
Semua tiket bagi tiga malam persembahan habis dijual dalam tempoh hanya 22 minit, sekali gus mencatat antara permintaan tertinggi bagi konsert di Korea Selatan tahun ini.
Susulan permintaan luar biasa itu, YG Entertainment mengumumkan pembukaan tempat duduk tambahan, termasuk tiket yang dibatalkan dan ruang baharu di bahagian lantai serta tingkat dua dan tiga stadium.
Jualan prapesan untuk ahli kelab peminat dijadual berlangsung pada 13 Julai ini, manakala jualan umum akan dibuka sehari kemudian.
Dengan gabungan lagu malar segar sepanjang dua dekad, produksi bertaraf antarabangsa serta kemunculan lagu baharu yang dinanti-nantikan, BigBang dijangka sekali lagi mencetuskan fenomena dalam industri muzik global pada separuh kedua tahun ini. - AGENSI
























