BH Online
Ringkasan Berita

Penyanyi UK, Bonnie Tyler meninggal dunia

LONDON: Penyanyi legenda Britain, Bonnie Tyler yang terkenal dengan lagu malar segar, Total Eclipse of the Heart dilapor meninggal dunia di sebuah hospital di Faro, Portugal, semalam, pada usia 75 tahun.
Penyanyi UK, Bonnie Tyler meninggal dunia

Pemergian mendiang Tyler mengakhiri perjalanan seni lebih lima dekad yang menyaksikan beliau muncul antara penyanyi wanita paling berpengaruh pada era 1970-an dan 1980-an menerusi suara serak yang menjadi identitinya. Foto REUTERS

LONDON: Penyanyi legenda Britain, Bonnie Tyler yang terkenal dengan lagu malar segar, Total Eclipse of the Heart dilapor meninggal dunia di sebuah hospital di Faro, Portugal, semalam, pada usia 75 tahun.

Khabar duka itu disahkan keluarga melalui kenyataan yang dimuat naik di akaun media sosial rasmi mendiang Tyler.

Penyanyi yang pernah dicalonkan pada Anugerah Grammy itu sebelum ini dimasukkan ke hospital, Mei lalu bagi menjalani pembedahan kecemasan usus sebelum ditempatkan dalam keadaan koma teraruh (induced coma) selama beberapa minggu.

Pemergian mendiang Tyler mengakhiri perjalanan seni lebih lima dekad yang menyaksikan beliau muncul antara penyanyi wanita paling berpengaruh pada era 1970-an dan 1980-an menerusi suara serak yang menjadi identitinya, lapor CBC.

Anak kepada seorang pelombong arang batu dari Wales itu mencipta kejayaan besar menerusi It's A Heartache pada 1978 sebelum mengukuhkan kedudukannya sebagai bintang antarabangsa dengan Total Eclipse of the Heart yang diterbitkan pada 1983.

Lagu ciptaan Jim Steinman itu menduduki tangga teratas carta di Britain, Kanada dan Amerika Syarikat (AS), selain melayakkan mendiang Tyler menerima pencalonan Anugerah Grammy menerusi kategori Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik serta Album Terbaik untuk Faster Than the Speed of Night pada 1984.

Menteri Pertama Wales, Rhun ap Iorwerth dilapor menyifatkan pemergian Tyler sebagai kehilangan besar kepada dunia muzik.

"Wales kehilangan seorang ikon sejati yang muziknya membawa kegembiraan kepada jutaan peminat. Takziah kepada keluarga, sahabat dan peminat beliau di seluruh dunia," katanya.

Walaupun lebih empat dekad berlalu, single Total Eclipse of the Heart terus menjadi antara lagu paling berpengaruh dalam sejarah muzik pop dengan jumlah penstriman melebihi satu bilion di Spotify.

Lagu itu turut dirakam semula oleh beberapa artis termasuk Nicki French dan Westlife, selain dipersembahkan One Direction dalam program The X Factor UK. Lagu itu juga dimuatkan dalam beberapa filem dan siri televisyen (TV), antaranya Bandits, Old School, Glee dan Grey's Anatomy.

Populariti lagu Total Eclipse of the Heart kembali melonjak ketika fenomena gerhana matahari penuh pada 2017 dan 2024. Pada 2017, mendiang Tyler dilapor menyertai kumpulan DNCE yang diketuai Joe Jonas membuat persembahan khas di atas kapal persiaran Oasis of the Seas sempena pelayaran Total Eclipse Cruise, lapor agensi.

Ketika ditemuramah media, mendiang Tyler dilapor memberitahu, kerjasama dengan Steinman adalah impian sepanjang hayat.

"Menjadi impian saya untuk bekerja dengannya dan hasrat itu akhirnya menjadi kenyataan," katanya dalam temu bual pada 2024.

Dilahirkan sebagai Gaynor Hopkins di Skewen, Wales, mendiang Tyler membesar dalam keluarga sederhana bersama lima adik-beradik.

Beliau mula meminati muzik sejak kecil dengan mengagumi The Beatles serta sering meniru nyanyian artis seperti Janis Joplin, Nina Simone, Tina Turner, Wilson Pickett dan Otis Redding.

Pada 1976, mendiang Tyler menjalani pembedahan membuang nodul pada pita suara. Selepas melanggar nasihat doktor supaya berehat, suaranya berubah menjadi lebih serak secara kekal, sekali gus mencipta identiti vokal yang membezakan beliau daripada penyanyi lain.

Selepas menyertai syarikat rakaman RCA, mendiang Tyler menggunakan nama pentas Bonnie Tyler dan melancarkan album sulung The World Starts Tonight pada 1977 yang memuatkan lagu Lost in France.

Setahun kemudian, It's A Heartache melonjakkan namanya ke persada antarabangsa sebelum kejayaan lebih besar hadir menerusi Total Eclipse of the Heart dan Holding Out for a Hero.

Mendiang Tyler terus aktif menghasilkan muzik sepanjang hayatnya. Pada 2013, beliau mewakili Britain pada pertandingan Eurovision Song Contest menerusi lagu Believe in Me, selain menerbitkan beberapa album termasuk Rocks and Honey serta Between the Earth and the Stars.

Mendiang Tyler mendirikan rumah tangga dengan pemaju hartanah dan bekas atlet judo Olimpik, Robert Sullivan, pada 1973. Pasangan itu kekal bersama sehingga Tyler menghembuskan nafas terakhir. - AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan