Kumpulan popular KRU terus mengembangkan legasi apabila bakal membuka KRU Café di Aneka Walk, di sini, pada suku ketiga tahun ini dengan hasrat menjadikannya platform mencungkil dan mengetengahkan bakat baharu menerusi persembahan muzik, kolaborasi kreatif serta pelbagai aktiviti komuniti.
Dibangunkan hasil kerjasama KRU, Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd, Babah Ventures Sdn Bhd (BBV) dan TMG Ventures Sdn Bhd (TMGV), kafe berkonsepkan muzik dan hiburan itu diwujudkan bagi menawarkan pengalaman gaya hidup yang menghubungkan peminat dengan perjalanan seni kumpulan terbabit.
Pembukaan KRU Café menyusuli kejayaan siri konsert KRU di Malaysia dan Singapura, selain kebangkitan semula populariti lagu-lagu mereka di platform penstriman digital.
Dianggotai tiga beradik, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim, KRU melihat inisiatif itu sebagai platform baharu untuk terus mendekati peminat di luar pentas persembahan.
Selain mengetengahkan elemen nostalgia, KRU Café turut menggabungkan hiburan, persembahan muzik dan pengalaman interaktif bagi mewujudkan pengalaman lebih bermakna kepada pengunjung.
Yusry berkata, KRU Café bukan sekadar sebuah premis makanan dan minuman, sebaliknya dirancang sebagai ruang kreatif yang menyatukan muzik, seni dan komuniti.
"Lebih daripada sekadar sebuah tempat makan, kami membayangkan kafe ini sebagai ruang yang menghidupkan persembahan muzik, kolaborasi kreatif dan pelbagai aktiviti komuniti.
"Kami juga berharap KRU Café dapat menjadi platform pembangunan bakat baharu dalam industri kreatif," katanya.
Edry pula berkata, pembukaan kafe berkenaan adalah antara usaha menghargai sokongan tidak berbelah bahagi peminat yang terus bersama KRU sejak beberapa dekad lalu.
"KRU Café adalah satu lagi cara untuk kami terus berhubung dengan peminat sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama," katanya.
Di bawah kerjasama itu, TMGV akan membangunkan keseluruhan penawaran makanan dan minuman di KRU Café.
Sementara itu, BBV yang diasaskan bersama pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro, akan bertindak sebagai rakan strategik bagi aspek operasi serta pengembangan perniagaan KRU Café.
Syarikat itu kini mengendalikan hampir 60 cawangan restoran Bumbu Babah di seluruh negara.
Norman berkata, kejayaan BBV mengembangkan rangkaian restoran itu dalam tempoh kurang dua tahun memberi keyakinan terhadap potensi KRU Café untuk diperluaskan ke lokasi lain.
"Kami yakin sekiranya cawangan pertama menerima sambutan seperti yang dijangkakan, KRU Café mempunyai potensi besar untuk berkembang ke seluruh Malaysia," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong, berkata projek berkenaan membuka dimensi baharu dalam mengukuhkan hubungan KRU dengan peminat menerusi pengalaman gaya hidup yang lebih menyeluruh.
"Perkara paling menarik ialah peluang untuk mengembangkan hubungan KRU dengan peminat melangkaui muzik kepada satu pengalaman gaya hidup yang lebih imersif.
"KRU Café adalah mengenai usaha menghidupkan legasi mereka dengan cara yang segar dan menarik, sekali gus membolehkan peminat berhubung dengan muzik, kenangan dan semangat KRU dalam suasana baharu," katanya.
Ajak pula berkata, pihaknya tidak mengambil masa lama untuk menerima pelawaan menyertai projek berkenaan sebaik sahaja pembentangan dibuat oleh Sony Music Malaysia.
"Ini satu penghormatan besar buat kami untuk bekerjasama dengan KRU. Mereka adalah legenda negara dan antara artis muzik paling berpengaruh pernah dilahirkan Malaysia.
"Kami teruja menggabungkan legasi mereka dengan pengalaman kami membangunkan serta mengendalikan jenama restoran," katanya.
Cawangan pertama KRU Café akan beroperasi di Aneka Walk, Shah Alam yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai destinasi gaya hidup yang menghimpunkan makanan, budaya, hiburan dan aktiviti komuniti.
























