BH Online
Ringkasan Berita

Madonna cipta sejarah Spotify dengan album baharu

LOS ANGELES: Ratu pop dunia, Madonna terus membuktikan pengaruhnya dalam industri muzik apabila album terbaharu, Confessions II, mencipta sejarah penstriman di Spotify hanya sehari selepas dilancarkan.
Madonna cipta sejarah Spotify dengan album baharu

Kemunculan Confessions II mengukuhkan lagi legasi Madonna sebagai antara ikon muzik paling berpengaruh sepanjang zaman. Foto IG Madonna

LOS ANGELES: Ratu pop dunia, Madonna terus membuktikan pengaruhnya dalam industri muzik apabila album terbaharu, Confessions II, mencipta sejarah penstriman di Spotify hanya sehari selepas dilancarkan.

Album yang diterbitkan Warner Records dan dilancarkan pada 3 Julai lalu itu merekodkan 13.09 juta strim dalam tempoh 24 jam pertama, sekali gus menjadi debut terbesar di Spotify bagi penyanyi solo wanita yang memulakan kerjaya pada era 1980-an.

Pencapaian itu turut meletakkan Confessions II sebagai album dengan debut kedua terbesar di Spotify bagi penyanyi solo wanita yang memulakan kerjaya sebelum 2000.

Single Danceteria muncul sebagai lagu paling menyerlah apabila membuat penampilan sulung di tangga ke-60 Carta Harian Global Spotify selepas mengumpul 1.841 juta strim, lapor blog InMusic.

Lagu Bring Your Love yang menampilkan Sabrina Carpenter pula kembali memasuki Carta Harian Global Spotify dengan lebih 1.3 juta strim sejurus album dilancarkan.

Dua lagi lagu, Read My Lips bersama Feid dan Bizarre hasil kolaborasi dengan Martin Garrix, turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila masing-masing menghampiri satu juta serta kira-kira 900,000 strim pada hari pertama.

Prestasi kukuh itu turut melonjakkan kedudukan Madonna ke tangga ke-17 Carta Global Daily Top Artists Spotify, meningkat 86 anak tangga dalam tempoh sehari.

Mengekalkan pengaruh muzik Chicago house dan Detroit techno, album baharu itu pada masa sama menampilkan sisi lebih peribadi menerusi tema kehilangan, ketabahan serta kebangkitan semula.

Sebelum pelancaran album, kempen promosi Confessions II sudah menunjukkan petanda positif apabila single I Feel So Free mengungguli carta Billboard Dance/Mix Show Airplay, sekali gus menghadiahkan Madonna lagu nombor satu pertama di carta radio Billboard dalam tempoh 18 tahun. - AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan