BH Online
Ringkasan Berita

'Apa yang pasti, bukan ASP Salina'

KUALA LUMPUR: “Memang bukan saya... Confirm (sah).”
'Apa yang pasti, bukan ASP Salina'

Salina menafikan spekulasi konon dia adalah pelakon ditahan disyaki positif dadah dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa. Foto NSTP/Raihana Mansor

KUALA LUMPUR: "Memang bukan saya... Confirm (sah)."

Itu reaksi pelakon, Salina Saibi apabila ditanya mengenai dakwaan seorang pelakon drama kepolisan ditahan selepas disyaki positif dadah, hari ini.

Salina, 44, menafikan spekulasi itu dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

"Kita serahkanlah kepada pihak yang bertanggungjawab dan pihak sepatutnya melalui saluran tepat. Kita doakan yang baik-baik saja. Saya pun tak pasti (siapa).

"Saya tak mahu komen apa-apa. Tapi yang pastinya, bukan ASP Salina. ASP Salina 'come on' la kan? Seorang ibu, isteri dan seorang ahli perniagaan.

"ASP Salina dah 20 tahun sudah (berada dalam industri seni ini)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, pelakon yang membawakan watak Asistan Superintenden Polis (ASP) dalam drama Gerak Khas lebih dua dekad ini berkata, dia sentiasa menjaga reputasi diri daripada terjebak dengan perkara-perkara negatif.

"Sebagai 'public figure', kita sedang pikul amanah dan tanggungjawab besar. Saya selalu nasihat semua pelakon sebab setiap tindakan kami semua kena selari dengan integriti dan nama baik yang kita bawa.

"Saya tak mahu apa yang saya dah usahakan selama ini termasuk reputasi dan kepercayaan yang saya bina ini hancur akibat salah faham," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Salina berharap agar penjelasan ini membantu orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan perkara berkenaan dengan dirinya.

"Harap penjelasan ini membantu mengelakkan sebarang spekulasi. Jadi, sekali lagi, pelakon tersebut bukan Salina Saibi. Kita kena hormati 'privacy', proses dan siasatan yang sedang berjalan. Semoga dipermudahkanlah segala urusan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal ditahan selepas disyaki positif dadah methamphetamine di sebuah pusat hiburan di ibu negara.

Pelakon wanita berkenaan ditahan bersama 17 individu lain ketika serbuan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Video Terkini

Berita Berkaitan