BH Online
Ringkasan Berita

Maria Danisha lanjut pengajian perniagaan, Norman Hakim kongsi momen gembira

KUALA LUMPUR : Usahawan yang juga pelakon, Norman Hakim, 50, gembira dapat menghantar 'teddy bear' kesayangan anak gadisnya, Maria Danisha Hakim, 18, yang kini mula menyambung pengajian di sebuah universiti tempatan.
Maria Danisha lanjut pengajian perniagaan, Norman Hakim kongsi momen gembira

Norman bersama anak gadisnya, Maria Danisha

KUALA LUMPUR : Usahawan yang juga pelakon, Norman Hakim, 50, gembira dapat menghantar 'teddy bear' kesayangan anak gadisnya, Maria Danisha Hakim, 18, yang kini mula menyambung pengajian di sebuah universiti tempatan.

Norman atau nama sebenar Mohamed Nurhakim Zaidon membuat perkongsian itu dalam hantaran video dimuatnaik di Instagram (IG) yang memaparkan ringkasan mesej antara dia dan Maria Danisha serta kehadirannya menghantar barangan diminta oleh remaja itu.

"Baby (panggilan mesra Maria Danisha) bagitau malam tadi dia susah nak tidur sebab 'teddy bear' kesayangan tertinggal. Tapi yang lagi tak tahan rupa-rupanya ada beberapa barang lain yang tidak cukup.

"Jadi, lepas singgah 'office' (pejabat), teruslah kita hantar semua barang diperlukan," tulisnya pada kapsyen hantaran video berkenaan.

Dalam pada itu, Norman juga memberitahu dia turut meluangkan masa menyertai sesi pendaftaran Maria Danisha di kampus universiti dan seronok melihat suasana yang dipenuhi ramai pelajar.

"Dah alang-alang sampai, kita join sekali sesi pendaftaran. Masya-Allah, seronok sangat tengok suasana kampus yang dipenuhi pelajar daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama dan negeri.

"Tahniah serta terima kasih kepada pihak pentadbiran dan pengurusan universiti yang begitu prihatin dan sentiasa memastikan proses pendaftaran berjalan lancar," katanya.

Norman yang juga bapa kepada enam anak berkata dia sangat mensyukuri segala nikmat Allah kepadanya dan memohon setiap apa diusahakan serta urusan semua orang dipermudahkan Yang Esa.

"Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat yang Allah SWT aturkan hari ini. Semoga terus dikurniakan keberkatan dalam setiap langkah kita.

"Insya-Allah apabila kita sentiasa berusaha memudahkan urusan orang lain, Allah juga akan memudahkan setiap urusan kita. Semoga kita sentiasa di dalam lindungan, rahmat dan kasih sayang-Nya," ujar Norman berserta emoji hati berwarna merah.

Meninjau pada ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada Maria Danisha kerana berjaya melanjutkan pengajian di universiti serta menyifatkannya sangat bertuah mendapat kasih sayang bapanya yang bertanggungjawab.

"Nampak 'bonding' (ikatan) anak dengan bapa dekat situ ikhlas...," komen warganet.

"Great dad (Bapa terbaik), kaya, 'hansome' (kacak) dan sangat bertanggungjawab," tulis netizen.

"Seronok ada ayah macam ini dik, Maria Danisha. Belajar elok-elok," ujar seorang wargamaya.

"Alhamdulillah, ayah yang 'supportive'. Anak jadi selesa," kata pengguna media sosial.

Maria Danisha yang meraih keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu melanjutkan pengajian dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan di universiti berkenaan daripada peringkat Diploma sehingga Ijazah Sarjana Muda.

Maria Danisha adalah anak bongsu Norman dengan bekas isteri, Abby Abadi, 49, yang dikahwini pada 2002 sebelum bercerai pada 2009.

Hasil perkongsian hidup bersama itu, Norman dan Abby turut mempunyai dua lagi cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 23, Marissa Dania Hakim, 21, dan Maria Danisha.

Selepas perceraian, Norman bertemu jodoh kali kedua dengan usahawan dan pelakon Memey Suhaiza pada 2011 dan kini mereka bahagia bersama tiga anak.

Video Terkini

Berita Berkaitan