KUALA LUMPUR: Pelakon, Adam Corrie tampil menyangkal tanggapan segelintir pihak yang melabelkan industri seni sebagai tempat maksiat, sebaliknya menegaskan dosa dan pahala seseorang bukan ditentukan oleh bidang kerjaya, tetapi bergantung kepada pilihan serta amalan individu.
Adam atau nama penuhnya, Adam Corrie Lee Abdullah, 58, berkata industri kreatif tidak seharusnya dipandang serong kerana setiap karya yang dihasilkan mempunyai mesej dan tujuan tersendiri, termasuk mengangkat kisah kehidupan serta sejarah untuk tatapan masyarakat.
Menurut Adam, adalah tidak adil untuk meletakkan stigma terhadap keseluruhan industri seni hanya disebabkan tanggapan segelintir pihak.
"Kalau industri kreatif ini maksiat, apa yang maksiatnya? Kita buat cerita mengenai peperangan atau kisah yang diangkat daripada kejadian sebenar.
"Dosa atau tidak dosa itu terpulang kepada diri individu itu sendiri," katanya dalam podcast Nanord Studio.
Adam berkata, banyak syarikat produksi kini turut menyediakan kemudahan bagi membolehkan pelakon dan kru menunaikan ibadah sepanjang tempoh penggambaran.
"Contohnya apabila menjalani penggambaran cerita peperangan, pihak produksi menyediakan surau di lokasi.
"Terpulang kepada kita sama ada mahu solat, termasuk solat sunat. Semua itu bergantung kepada diri sendiri," katanya.
Berkongsi amalan yang dipegang, Adam berkata dia sentiasa hadir lebih awal ke lokasi penggambaran bagi mengurus masa sebaik mungkin sebelum memulakan tugas.
"Sebab itu saya selalu sampai awal di set. Bila datang awal, saya boleh melakukan banyak perkara.
"Saya boleh makan, menunaikan solat sunat atau solat dhuha terlebih dahulu sebelum bekerja," katanya.
Adam berkata, ibadah solat adalah tanggungjawab setiap Muslim kepada Allah dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan amalan orang lain.
"Solat ini sebenarnya untuk diri kita, bukan untuk orang lain. Di akhirat nanti Allah akan tanya mengenai solat kita sahaja.
"Bukan tanya mengenai kawan kita," katanya.
























