KUALA LUMPUR: Konsisten menyebarkan aura positif, artis versatil, Alif Satar sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila berjaya menghimpunkan ramai jemaah bagi menjayakan kempen #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd. Satar, 36, berkongsi perkara itu menerusi hantaran video di akaun Threads miliknya.
Menerusi hantaran berkenaan, ia menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang memuji usaha Alif untuk mengajak masyarakat, terutamanya golongan lelaki untuk mengimarahkan masjid pada waktu Subuh.
Dalam hantaran video berkenaan, dilihat ramai jemaah yang hadir bagi memenuhi segenap ruang masjid ketika itu.
"Assalamualaikum. Kami baru selesai solat subuh berjemaah di Masjid Sri Sendayan yang cantik. Salam subuh daripada kami, geng subuh macam Jumaat," katanya dalam hantaran video berkenaan.
Menjengah ke dalam ruangan komen, jemaah terbabit turut berkongsi foto momen mereka menghadiri solat subuh tersebut.
"Alhamdulillah. Setelah beberapa lama nak pergi, akhirnya pergi juga. First time join (kali pertama sertai), the vibe (suasananya) subuh macam Jumaat. MasyAllah. Padu. Terima kasih brother (abang) ajak," tulis netizen.
Rata-rata netizen yang hadir menyifatkan kehadiran Alif sebagai satu bentuk dakwah yang dekat dengan masyarakat, selain menjadi inspirasi kepada anak muda untuk menjadikan masjid sebagai destinasi utama untuk mendirikan ibadah solat.
Sebelum ini, Alif turut aktif menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan dan aktiviti kecergasan yang menggabungkan elemen gaya hidup sihat serta nilai-nilai keagamaan.
Untuk rekod, Alif mula mencetuskan gerakan #GengSubuhMacamJumaat pada penghujung November 2023.
Terdahulu, Alif pernah menghimpunkan kira-kira 3,000 jemaah masjid di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, pada 1 Januari 2024.
























