BH Online
Ringkasan Berita

Zizi Kirana tenang lalui fasa perpisahan, enggan sesali takdir

KUALA LUMPUR: “Saya tidak menyesal berkahwin, kerana saya percaya, ia adalah separuh daripada ujian yang Allah berikan untuk saya belajar melepaskan sesuatu yang kita sayang.”
Zizi Kirana tenang lalui fasa perpisahan, enggan sesali takdir

Zizi Kirana. - Foto Instagram Zizi Kirana.

KUALA LUMPUR: "Saya tidak menyesal berkahwin, kerana saya percaya, ia adalah separuh daripada ujian yang Allah berikan untuk saya belajar melepaskan sesuatu yang kita sayang."

Demikian perkongsian penyanyi, Zizi Kirana, yang menganggap perkahwinannya bersama bekas suami yang juga pelakon, Yusuf Bahrin sebelum ini adalah sebuah ujian daripada Allah.

Menurut Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 41, fasa duka itu mengajarnya bahawa tidak ada perkara yang kekal menjadi milik manusia di dunia ini.

"Masa itu saya terfikir, benda yang paling kita sayang, Allah akan uji sebenarnya. Jadi bila Allah uji macam itu, saya kena belajar untuk melepaskan. Tiada yang kekal.

"Mungkin orang tengok saya tenang dan tidak menangis ketika hadir ke mahkamah, namun secara jujurnya saya juga manusia biasa yang melalui proses itu.

"Saya pernah menangis dan melalui fasa yang betul-betul 'down' sehingga tidak boleh bekerja.

"Apabila kita mencintai ujian-Nya, Allah beri ketenangan dan memudahkan segala proses termasuk keputusan ke mahkamah yang tidak mengambil masa yang lama," katanya dalam temu bual menerusi audio siar Confession Bilik Gelap, baru-baru ini.

Mengulas mengenai keputusan untuk menoktahkan perkahwinannya bersama Yusuf, Zizi mengakui proses tersebut bukanlah satu perkara yang mudah apabila dia mengambil masa sebanyak setahun lebih untuk membuat keputusan berkenaan.

"Setahun lebih juga saya mengambil masa untuk memikirkan benda itu. Macam-macam rujukan saya cari, termasuk berjumpa dengan orang-orang yang berilmu serta berpengalaman dalam hal ini.

"Sebenarnya dalam tempoh setahun lebih itu, banyak jawapan dan petunjuk yang Allah dah bagi, cuma saya sendiri ketika itu belum membuka hati untuk menerima keadaan dan masih menidakkan perkara itu.

"Tetapi, akhirnya Allah bagi jalan dan permudahkan sehinggalah saya membuat keputusan untuk bersetuju (berpisah). Ini adalah yang terbaik dan menerusi perbincangan terakhir bersama pihak di sana, dia juga bersetuju," ujarnya.

Tambah pelantun lagu Pijak ini, dia reda dengan takdir yang telah tertulis dan menganggap setiap ujian adalah yang terbaik buat dirinya.

"Yang penting, kita jangan putus asa dan sentiasa yakin bahawa kita ada Allah dalam setiap urusan hidup serta segala bantuan yang kita perlukan semuanya datang daripada-Nya.

"Apabila sudah sampai ke titik terakhir, saya rasa saya kena beritahu kepada semua orang bahawa benda (perkahwinan) itu sudah berakhir dengan cara yang terbaik setelah melalui pelbagai ujian, cara dan fasa," katanya.

Dalam pada itu, Zizi turut meluahkan rasa terharu apabila menerima lambakan mesej dan komen daripada peminat yang turut bersedih dengan perkhabaran itu.

"Ramai yang sedih dan kecewa, tetapi dalam masa sama mereka mendoakan saya supaya saya lebih kuat pada masa akan datang. Tarikh 2 April adalah hari yang paling tenang untuk saya selepas membuat keputusan itu," ujarnya.

Untuk rekod, Zizi dan Yusuf sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 2 April lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada September 2021 dan tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang perkahwinan.

Video Terkini

Berita Berkaitan