BH Online
Ringkasan Berita

Awie gagahkan diri walau paru-paru dijangkiti kuman

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock yang juga vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, mendedahkan dirinya sedang bergelut dengan masalah jangkitan kuman pada paru-paru yang serius sehingga menyebabkan suaranya menjadi sengau dan mengalami masalah hidung tersumbat.
Awie gagahkan diri walau paru-paru dijangkiti kuman

Awie mengaku mengambil risiko yang tinggi demi melunaskan tanggungjawabnya terhadap peminat setia menjayakan showcase di ibu negara, malam tadi. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock yang juga vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, mendedahkan dirinya sedang bergelut dengan masalah jangkitan kuman pada paru-paru yang serius sehingga menyebabkan suaranya menjadi sengau dan mengalami masalah hidung tersumbat.

Awie, 58, ketika ditemui selepas showcase eksklusif Wings Sunday Night Live di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur di sini, malam tadi, berkata, keadaan kesihatannya itu sudah berlarutan sejak hampir dua bulan lalu dan dia sepatutnya masih berada di hospital untuk menerima rawatan susulan.

"Hampir dua bulan keadaan ini masih belum sembuh. Suara saya jadi sengau, malah hidung saya tersumbat sekarang ini. Penyakit ini bukan sinus, tetapi ia adalah jangkitan kuman pada paru-paru.

"Disebabkan itu, saya dimasukkan ke wad minggu lepas. Tiga hari doktor tidak membenarkan saya keluar. Namun, saya terpaksa keluar juga kerana tuntutan kerja. Jadi, Alhamdulillah, keadaan saya buat masa ini bolehlah dan semuanya okay," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut mengenai tahap kesihatannya, Awie atau pemilik nama Ahmad Azhar Othman mengakui dia mengambil risiko yang tinggi demi melunaskan tanggungjawabnya terhadap peminat setia.

"Sebenarnya, penyakit ini bukan perkara yang boleh dibuat main. Apabila terkena jangkitan kuman pada paru-paru, ada pesakit yang terpaksa ditidurkan.

"Keadaan saya pula sudah berlarutan secara pasang surut, sekejap okay, sekejap tidak. Semasa di Singapura tempoh hari pun keadaannya sama juga.

"Sepatutnya sekembali dari Terengganu dan Kuantan baru-baru ini, saya perlu masuk ke wad semula, tetapi saya hanya pergi ambil rawatan nebulizer. Saya mengikut sahaja saranan doktor. Esok pun ada janji temu dengan doktor lagi.

"Memang saya perlu ikutkan sahaja proses rawatan ini kerana ada tiga hingga empat orang doktor yang memantau keadaan saya," katanya.

Ditanya mengenai persembahannya di atas pentas yang kelihatan agak mencabar ekoran masalah batuk, Awie tidak menafikan dia terpaksa bergantung kepada ubat batuk bagi memastikan kelancaran suaranya.

"Ya, saya ambil ubat batuk. Keadaan tekak saya adakalanya tersumbat, sekejap kering dan sekejap basah. Oleh itu, saya terpaksa membasahkannya dengan meminum air atau ubat untuk memudahkan suara keluar.

"Semalam (Sabtu) di konsert Datuk M Nasir, sebaik sahaja naik ke pentas saya terus batuk dengan teruk.

"Bagaimanapun, persembahan malam ini okay dan bagi saya semuanya lancar. Cuma ada sedikit suara sengau kerana hidung saya tersumbat.

"Untuk memulihkan penyakit ini sepenuhnya bukan mudah dan memakan masa yang agak lama," katanya.

Meskipun terpaksa menanggung kesakitan, Awie tetap melahirkan rasa syukur yang mendalam kerana berjaya menamatkan showcase berkenaan dengan jayanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan