NEW YORK: Selepas berbulan-bulan menjadi teka-teki peminat, bintang pop dunia, Taylor Swift akhirnya sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak Amerika, Travis Kelce, dalam majlis perkahwinan penuh eksklusif di Madison Square Garden (MSG), New York, Jumaat lalu.
Pengumuman perkahwinan pasangan sensasi itu dibuat dengan cara cukup luar biasa apabila papan iklan gergasi di luar MSG memaparkan mesej "JUST&T MARRIED", sekali gus mengesahkan khabar gembira kepada peminat di seluruh dunia.
Sebagai simbolik meraikan pasangan itu, bangunan ikonik Empire State Building turut diterangi cahaya biru sebelum hujan turun sejurus majlis berlangsung.
Memetik laporan CNN, perkahwinan Swift dan Kelce berlangsung dalam kawalan keselamatan yang sangat ketat sehingga disifatkan setaraf prosedur di lapangan terbang.
Difahamkan, semua tetamu dikehendaki menandatangani perjanjian kerahsiaan, manakala telefon bimbit mereka turut diambil sebelum memasuki ruang majlis.
Majlis dimulakan dengan acara latihan pada malam Khamis yang dihadiri kira-kira 100 tetamu, namun hanya segelintir mengesahkan kehadiran mereka.
Suasana di luar MSG ibarat acara anugerah terbesar Hollywood apabila deretan selebriti, pemuzik, tokoh sukan dan personaliti terkenal hadir meraikan pasangan mempelai.
Antara tetamu yang mencuri perhatian ialah Ed Sheeran, Roger Goodell, Mariska Hargitay, Steven Spielberg, Gigi Hadid, Bradley Cooper, Dakota Johnson, Hugh Grant, Jimmy Fallon, Jennifer Lopez, Selena Gomez, Karlie Kloss, Graham Norton dan Lena Dunham.
Turut hadir beberapa pemain Kansas City Chiefs termasuk abang Travis, Jason Kelce, selain pengendali New England Patriots, Mike Vrabel serta penyampai sukan, Erin Andrews.
Barisan artis lain yang memeriahkan majlis termasuk Gwen Stefani, Fergie, The Chainsmokers, Miranda Lambert, Camila Cabello dan Benson Boone.
Berbeza majlis perkahwinan tradisional, Swift dilapor memilih adiknya, Austin Swift, sebagai 'man of honor', manakala Jason Kelce menggalas tugas 'best man'.
Pasangan itu mengenakan busana rekaan khas Christian Dior hasil sentuhan pereka terkenal, Jonathan Anderson.
Pelakon Adam Sandler pula diberi penghormatan mengendalikan upacara pernikahan pasangan terbabit.
Pengacara Good Morning America, George Stephanopoulos, yang menghadiri majlis itu menyifatkan upacara berkenaan penuh emosi.
Menurutnya, pasangan terbabit menulis sendiri lafaz ikrar perkahwinan dalam buku kecil yang disediakan khas.
"Majlis itu cukup menyentuh hati. Adam Sandler mengendalikan upacara dengan penuh humor, manakala ikrar mereka sangat tulus, jujur dan penuh kasih sayang," katanya, lapor ABC News.
Penyanyi legenda, Stevie Nicks, menjadi antara penghibur pada malam bersejarah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif AEG Presents, Jay Marciano, dilapor turut mengesahkan beberapa persembahan istimewa diadakan sepanjang majlis, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
Tetamu turut membawa pulang sapu tangan eksklusif yang disulam dengan huruf "T&T", tarikh perkahwinan, lokasi "New York City" serta lirik lagu popular Swift, Blank Space iaitu "So it's gonna be forever…".
Majlis berkenaan mengakhiri spekulasi yang menyelubungi hubungan Swift dan Kelce sejak mereka mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupan pasangan berkenaan.- AGENSI
























