BH Online
Ringkasan Berita

'Luka yang tersimpan, tiada siapa pernah peduli' - Abby Abadi

KUALA LUMPUR: Usahawan, pelakon dan juga anggota Elite, Abby Abadi menarik perhatian ramai di media sosial apabila meluahkan perasaan trauma sebagai wanita dan ibu yang perlu cekal dalan menghadapi dugaan hidup.
'Luka yang tersimpan, tiada siapa pernah peduli' - Abby Abadi

Abby Abadi berkongsi hantarannya mengenai Trauma di Instagram (IG).

KUALA LUMPUR: Usahawan, pelakon dan juga anggota Elite, Abby Abadi menarik perhatian ramai di media sosial apabila meluahkan perasaan trauma sebagai wanita dan ibu yang perlu cekal dalan menghadapi dugaan hidup.

Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 49, menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram (IG) memaklumkan dia menyimpan terlalu banyak luka, namun tetap kuat demi anak-anak dan keluarga.

"Luka yang tersimpan. Banyak sebenarnya yang nak saya kongsikan. Tapi cukuplah yang ini untuk di luar sana peduli. Saya sudah penat mental.

"Kenapa 'share' (kongsi) di sini (media sosial). Biar orang luar pun tahu apa yang terbuku dan memang sudah tidak mampu disimpan lagi," tulisnya pada hantaran trauma dimuat naik itu.

Kata Abby, selembut-lembut hatinya bersikap mengalah, tiada siapa pernah peduli keperitan dihadapinya kerana tidak berkongsi mengenainya kepada sesiapa termasuk anak-anaknya.

"Selembut-lembut hati saya beralah selama ini, ada luka yang tidak pernah siapa peduli. Memang sebelum ini tak pernah 'share' (kongsi) pun dan anak-anak juga tidak pernah tahu. Hanya yang indah-indah sahaja depan mata.

"Saya kongsi tajuk ini (trauma) semoga mereka tahu dan tersedar. Saya ada lagi. Rasa sudah bagi seluruh jiwa raga, tapi bila diuji dengan harta benda," ujarnya berserta emoji sedih.

Turut menitip pesan, Abby memaklumkan dia berharap apa yang disampaikan dapat difahami kerana perkongsian dibuatnya mengikut pandangan daripada pakar juga.

Menurutnya, banyak perkara yang dipendam memakan dirinya sekali gus tidak baik untuk kesihatan mental.

"Jadi, lebih baik saya cuba melepaskan kerana dibimbangi jadi gila jika tidak diluah," katanya.

Meninjau pada ruangan komen, luahan Abby berkaitan perasaan trauma itu mendapat sokongan kata-kata semangat daripada rakan selebriti yang mengikutinya di IG termasuk pengguna media sosial lain.

"Semoga Allah limpahkan rezeki berkali ganda buat kak Abby. Allah sayang akak," komen Janna Nick berserta emoji hati berwarna merah.

"Sending love dan peluk kak," tulis pelakon Fazura berserta tiga emoji hati berwarna merah jambu.

"Semoga Allah angkat darjat mu kak," ujar penyanyi Elda Susanti dalam komennya berserta emoji sedih.

"Ya Allah, akak melihat kesusahan Abby... besarkan anak-anak, cuba bina bahagia," kata pelakon Zarina Zainuddin pada komen ditulisnya.

Abby yang kini bahagia di sisi suami, Muhammad Faizal Zakaria atau Jai dan tiga cahaya mata pernah berkahwin dengan pelakon, Norman Hakim pada 2002 sebelum bercerai pada 2009.

Hasil perkongsian hidup bersama Norman, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 23, Marissa Dania Hakim, 21, dan Maria Danisha Hakim, 18.

Video Terkini

Berita Berkaitan