NEW YORK: Penyanyi sensasi dunia, Taylor Swift, selamat bergelar isteri kepada bintang bola sepak Amerika, Travis Kelce, dalam majlis perkahwinan yang berlangsung di Madison Square Garden, di sini, pada 3 Julai lalu.
Majlis yang disifatkan antara perkahwinan paling dinantikan tahun ini itu berlangsung dalam suasana penuh elegan dengan kehadiran ahli keluarga, sahabat rapat serta barisan selebriti dan atlet terkenal.
Swift dan Kelce tampil anggun mengenakan busana rekaan Christian Dior Haute Couture hasil sentuhan Pengarah Kreatifnya, Jonathan Anderson.
Finally Taylor Swift &tarvis wedding is over & also 100% of American royal wedding congratulations #Tanvis #TaylorSwift #Tanviswedding pic.twitter.com/V3xiPESNOZ— Meena loshini (@yarunu27233) July 4, 2026
Pasangan itu memilih untuk tidak melantik pengapit perempuan dan lelaki. Sebaliknya, adik-beradik masing-masing diberikan peranan istimewa apabila Austin Swift menjadi pengiring kehormat pengantin perempuan, manakala Jason Kelce bertindak sebagai pengapit pengantin lelaki.
Majlis perkahwinan pasangan itu turut disempurnakan pelakon dan pelawak, Adam Sandler, yang juga sahabat rapat mereka.
Pemilihan tarikh perkahwinan membawa makna tersendiri apabila berlangsung menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada 4 Julai, yang sinonim dengan tradisi Swift meraikannya bersama keluarga dan rakan rapat setiap tahun.
Tarikh itu juga memberi peluang kepada Kelce meraikan hari bahagianya sebelum kembali menyertai kem latihan pramusim Kansas City Chiefs pada penghujung bulan ini.
Majlis itu dihadiri ramai selebriti, atlet, tokoh korporat serta ahli keluarga dan kenalan rapat pasangan berkenaan.
Sejak beberapa hari sebelum majlis berlangsung, petugas media mula berkampung di luar Madison Square Garden, manakala peminat memenuhi kawasan sekitar bagi menyaksikan ketibaan tetamu.
Bagi melancarkan kawalan keselamatan, Polis New York menutup beberapa laluan berhampiran Madison Square Garden, termasuk sebahagian Jalan Ketujuh, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Tetamu hadir secara berperingkat dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV), Cadillac Escalade, bas dan perkhidmatan e-hailing sebelum memasuki dewan menerusi sebuah khemah putih yang didirikan di Jalan 31.
Antara selebriti yang hadir ialah penulis novel The Summer I Turned Pretty, Jenny Han, penyanyi Benson Boone dan pelawak Nikki Glaser, yang sempat melambai kepada peminat sebelum memasuki lokasi majlis.
Swift dan Kelce mula menjalin hubungan pada 2023 selepas pemain Kansas City Chiefs itu mendedahkan hasrat untuk berkenalan dengan penyanyi berkenaan ketika menghadiri konsert jelajah The Eras Tour.
Selepas hampir dua tahun menyulam cinta, pasangan itu mengumumkan pertunangan pada Ogos tahun lalu menerusi satu majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat
























