KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah, keadaan isteri saya sihat, cuma sebagai pesakit kanser, emosinya ada pasang surut dan kadang kala mudah ''down' (tertekan) serta murung terutama apabila dengar khabar duka mengenai kematian pesakit kanser."
Itu reaksi penyanyi rock era 1990-an, Nizam Laksamana ketika berkongsi perkembangan terkini isterinya.
Nizam atau nama sebenar, Mohd Nizam Pechok, 59, berkata menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa berada di sisi isterinya, Salwati Zulkifli, 50, yang sedang berjuang melawan kanser payudara.
"Pesakit kanser ini emosi mereka memang rapuh. Mereka mudah terkesan apabila mendapat tahu ada pesakit lain yang dikenali atau menghidapi kanser yang sama meninggal dunia.
"Baru-baru ini, sekitar dua atau tiga hari lepas, kami diuji apabila cucu saudara kami disahkan menghidap kanser yang memberi kesan pada bahagian mata.
"Bayangkan, budak itu masih kecil, baru pandai bergurau, duduk dan memanggil-manggil. Tetapi matanya sudah bengkak disebabkan ketumbuhan dan kanser itu kini sudah merebak.
"Sesiapa pun akan tersentuh hati melihatnya. Itu yang membuatkan kami terkesan," katanya ketika ditemui pada sidang media Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan 5.0 di Batu Caves di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Nizam yang popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta kini lebih aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan komuniti bagi membantu pesakit kanser dan kanak-kanak autisme.
"Sebab itu saya lebih rela lakukan kerja-kerja (kebajikan) ini. Biarlah tidak 'glamour', biarlah susah sekalipun, asalkan ada sumbangan yang boleh diberikan.
"Saya mahu masyarakat luar nampak artis lama seperti kami bukan sekadar tahu menyanyi lagu rock sahaja sehingga ke tua, tetapi sebenarnya ada perkara bermanfaat yang kami usahakan juga," katanya.
Sementara itu, Nizam turut menyatakan hasratnya untuk melihat rakan-rakan artis yang mempunyai pengaruh besar dan berkemampuan untuk turut sama menggerakkan program kebajikan seperti itu.
Dalam perkembangan lain, Nizam bakal menganjurkan Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan 5.0 yang diuruskan oleh Zulremy Daud dari Zara Event Management.
Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan 5.0 yang dibarisi lapan artis jemputan termasuk Hazama, Tam Spider, Zamani dan Haiza bakal dipentaskan di Noah Grand Ballroom Melawati di sini, pada 3 Oktober depan.
























