KUALA LUMPUR: Pelakon Bella Hanna terkejut hantaran memaparkan dirinya bertudung dan berkaca mata hitam di lokasi ditandakan sebagai Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat di Instagram (IG), semalam, disalah tafsir netizen.
Bella yang juga isteri kepada pelakon Redza Rosli berkata, ramai netizen terlalu mudah berburuk sangka dan membuat andaian hanya berdasarkan satu perkongsian, sambil mengesahkan rumah tangganya bersama Redza dalam keadaan baik.

Menerusi hantaran di platform Threads, Bella berkata, ramai pengikut salah faham terhadap perkongsian yang dimuat naik di Instagram Story (IGs).
Bella turut menjawab komen seorang pengguna Threads yang menyelar tindakannya kerana didakwa sengaja meraih perhatian apabila tidak menjelaskan tujuan berada di pejabat agama berkenaan.
Menurut Bella, bukan semua individu yang datang ke pejabat agama atas urusan perceraian.
"Tidak ada apa yang mengundang pun, saya hanya 'post' gambar di pejabat agama saja. Cuba ubah pemikiran supaya fikir yang baik-baik dahulu.
"Baca dan luaskan lagi pengetahuan. Bukan semua orang pergi pejabat agama untuk bercerai," tulisnya.
Sementara itu, pelakon 'senior', Zila Bakarin turut meninggalkan komen terhadap hantaran Bella dengan menyatakan sebagai manusia biasa, sudah menjadi lumrah untuk timbul prasangka dan membuat andaian.
"Jadi kalau takut orang bersangkaan atau berandaian, jangan buat bukan-bukan... 'Chill' adik," komen Zila.
Membalas komen itu, Bella berkata dia sama sekali tidak menyangka gambar berkenaan boleh disalah tafsir. Malah, Bella sekali lagi mengesahkan rumah tangganya bersama Redza berada dalam keadaan baik.
"Insya-Allah kami baik-baik sahaja. Jomlah datang tengok 'baby'," katanya.
Bella Hanna atau nama sebenar, Farhana Nabila Rosman mendirikan rumah tangga dengan Redza pada 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Aydrean Raess, pada 13 Januari lalu.
























