KUALA LUMPUR: Kebanyakan lagu patah hati berkisar mengenai penyesalan, kemarahan dan kerinduan, namun penyanyi dan pelakon, Layla Sania memilih pendekatan berbeza menerusi single Mandarin terbaharu, Blessed To Have You, yang mengangkat kisah menerima hakikat insan yang pernah dicintai akhirnya menemui kebahagiaan bersama orang lain.
Layla berkata, mesej yang dibawa lagu duet bersama penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik, Brendon7an itu dekat dengan realiti kehidupan, selain menggambarkan sisi cinta yang lebih matang dan ikhlas.
"Apa yang menarik minat saya terhadap lagu ini ialah ia tidak menggambarkan patah hati sebagai sesuatu yang penuh kemarahan atau penyesalan.
"Kadangkala perkara paling sukar ialah menerima bahawa seseorang yang pernah kita sayangi kini lebih bahagia bersama orang lain," katanya dalam kenyataan.
Single itu menjadi karya rasmi pertama Layla selepas memulakan perjalanan sebagai artis bebas, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perkembangan kerjaya seninya.
Menggabungkan elemen balada Mandarin dengan sentuhan R&B moden, lagu berkenaan mengangkat tema cinta, keikhlasan dan proses melepaskan seseorang daripada perspektif lelaki dan wanita, menjadikannya dekat dengan pengalaman ramai yang pernah melalui episod kehilangan dalam percintaan.
Sementara itu, Brendon7an yang juga bertindak sebagai penulis lirik, penulis bersama dan penerbit bersama lagu berkenaan berkata, idea utama karya itu adalah untuk menyampaikan mesej bahawa patah hati tidak semestinya berakhir dengan kebencian.
"Kami mahu menghasilkan sebuah lagu yang mengakui kewujudan rasa kecewa dan patah hati, pada masa sama, masih memberi ruang kepada rasa syukur dan kebaikan hati.
"Lagu ini adalah mengenai mencari ketenangan, bukannya terus berpaut kepada kesakitan," katanya.
Lagu itu turut memperlihatkan kerjasama kreatif Layla bersama Brendon7an, Jinx Chin dan Mingaling dalam menghasilkan susunan muzik yang menggabungkan elemen balada Mandarin klasik dengan R&B moden serta vokal yang penuh emosi.
Menurut pasukan produksi, karya itu tercetus daripada pemerhatian bahawa tidak semua kisah cinta yang berakhir akan meninggalkan rasa benci.
Sebaliknya, cinta yang paling tulus ialah apabila seseorang mampu mendoakan kebahagiaan insan yang pernah disayangi, walaupun kebahagiaan itu bukan lagi bersama dirinya.
Pelancaran Blessed To Have You turut disertai video muzik rasmi arahan pengarah video muzik terkenal, John Chion daripada Timez Art.
Blessed To Have You kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital utama.
























