LOS ANGELES: Kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar kebimbangan masa depan buat tenaga kerja Hollywood, sebaliknya teknologi itu mula mengubah cara filem dibikin, selain mengurangkan keperluan tenaga kerja dalam proses produksi.
Data pekerjaan terbaharu dari pihak berkuasa Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) menunjukkan industri perfileman dan rakaman bunyi kehilangan 6,700 pekerjaan bagi tempoh 12 bulan berakhir Mei lalu, lapor agensi.
Situasi ini berlaku apabila studio produksi dilapor semakin giat melakukan integrasi AI dalam aliran kerja penghasilan filem.
Mengikut laporan BeInCrypto, pembikin filem kini menggunakan teknologi AI yang mampu mengurangkan kos penghasilan animasi sehingga 90 peratus, sekali gus mempercepat perubahan model produksi tradisional dalam industri hiburan.
Penggunaan AI kini tidak lagi terhad kepada kerja penyuntingan atau penambahbaikan kesan visual, malah, sudah digunakan untuk mengautomasikan pelbagai peringkat penghasilan filem.
Antara proses yang memanfaatkan AI, termasuk penyediaan papan cerita (storyboarding), 'character rigging' (pemasangan rangka watak animasi), aliran kerja animasi serta proses pembersihan pascaproduksi.
Penggerak industri kreatif memberitahu BeInCrypto bahawa teknologi itu bukan sekadar mempercepatkan tugasan sedia ada, malah menggantikan keseluruhan lapisan kerja produksi yang sebelum ini dilakukan tenaga manusia.
Perkembangan itu membolehkan kos penghasilan animasi dikurangkan secara ketara dengan sebahagian pembikin kandungan melaporkan penjimatan sehingga 90 peratus bagi sesuatu projek.
Dalam perkembangan berkaitan, data pasaran buruh terbaharu turut menunjukkan trend sama.
Mengikut Jabatan Pembangunan Pekerjaan California, sektor perfileman dan rakaman bunyi di Los Angeles kehilangan 6,700 pekerjaan sepanjang tempoh 12 bulan hingga Mei lalu.
Jumlah itu dilapor mewakili lebih 90 peratus daripada keseluruhan kehilangan pekerjaan dalam sektor maklumat di daerah berkenaan dalam tempoh sama, sekali gus menggambarkan kesan besar terhadap industri filem dan televisyen.
Tidak seperti turun naik bulanan yang bersifat sementara, angka berkenaan mencerminkan pengurangan tenaga kerja yang berlaku secara berterusan sepanjang setahun.
Peralihan kepada AI bukan hanya berlaku dalam kalangan pembikin filem secara individu.
BeInCrypto melaporkan Amazon Web Services (AWS) melabur dalam sebuah syarikat pemula produksi Hollywood yang membangunkan teknologi AI bagi mengurangkan kos penerbitan serta memendekkan tempoh penghasilan filem.
Pelaburan itu dilapor mencerminkan keyakinan studio bahawa AI akan menjadi sebahagian daripada proses penerbitan filem untuk jangka panjang dan bukannya sekadar alat meningkatkan produktiviti.
Penggunaan AI secara meluas turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan penggiat industri kreatif.
Sebahagian pembikin filem percaya AI mampu mengurangkan kos penerbitan, membuka lebih banyak peluang kepada pengkarya baharu serta menggalakkan eksperimen kreatif.
Bagaimanapun, ada juga yang bimbang teknologi itu bakal menggantikan tenaga profesional berkemahiran tinggi yang selama ini menjadi tulang belakang industri animasi Hollywood. - AGENSI
























