LOS ANGELES: Selepas hampir dua dekad menyulam cinta, suami bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, iaitu Jean Todt akhirnya mendedahkan punca mereka mengambil masa 19 tahun sebelum disatukan sebagai suami isteri.
Todt dilapor berkata, hasrat untuk mengahwini Yeoh sebenarnya sudah lama wujud apabila dia melamar pelakon filem Everything Everywhere All at Once (EEAAO) itu hanya beberapa minggu selepas mereka menjalin hubungan.
Namun, bekas eksekutif sukan permotoran dari Perancis berusia 80 tahun itu berkata, kesibukan kerjaya masing-masing menyebabkan hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan.
"Beberapa minggu selepas kami bersama, kami sudah komited terhadap hubungan ini. Saya terus melamarnya, tetapi ketika itu dia sibuk dan saya juga sibuk," katanya ketika muncul dalam program YouTube Jin Xing Official, lapor agensi.
Yeoh dan Todt mula bertemu di Shanghai, China, pada 4 Jun 2004 sebelum mengikat tali pertunangan kurang dua bulan kemudian.
Pasangan itu akhirnya selamat disatukan dalam majlis perkahwinan tertutup di Geneva, Switzerland, pada 27 Julai 2023, sekali gus menamatkan penantian hampir 19 tahun.
Todt turut berkongsi bahawa perkahwinan mereka juga adalah bagi menunaikan janji yang pernah dibuat kepada bapa mentua, mendiang Datuk Yeoh Kian Teik, yang meninggal dunia pada 2014.
"Bapanya seorang insan luar biasa yang sangat saya sayangi. Kami berjanji akan berkahwin dan akhirnya kami menunaikan janji itu," katanya.
Dalam temu bual sama, Todt yang kini berkhidmat sebagai Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Keselamatan Jalan Raya, tidak lokek meluahkan rasa cinta dan penghargaan terhadap isterinya.
Beliau turut mengimbau perjalanan panjang hubungan mereka dengan menyifatkan perkahwinan itu sebagai sesuatu yang sudah ditakdirkan.
"Kami berkahwin selepas 6,992 hari bersama. Ia memang sudah ditakdirkan berlaku.
"Pada 30 April lalu, kami meraikan genap 8,000 hari sejak kali pertama bertemu di Shanghai," katanya. - AGENSI
























