BH Online
Ringkasan Berita

Spekulasi Taylor Swift kahwin di Madison Square Garden

NEW YORK: Desas-desus mengenai kemungkinan perkahwinan bintang pop terkenal, Taylor Swift dengan pemain Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL), Travis Kelce terus menjadi perhatian apabila timbul dakwaan permit penutupan jalan di sekitar Madison Square Garden dikemukakan menjelang hujung minggu sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat.
Spekulasi Taylor Swift kahwin di Madison Square Garden

Swift dan Kelce terus menjadi perhatian apabila spekulasi mengenai perkahwinan mereka di New York semakin hangat diperkatakan. Foto IG Travis Kelce

NEW YORK: Desas-desus mengenai kemungkinan perkahwinan bintang pop terkenal, Taylor Swift dengan pemain Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL), Travis Kelce terus menjadi perhatian apabila timbul dakwaan permit penutupan jalan di sekitar Madison Square Garden dikemukakan menjelang hujung minggu sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat.

Perkembangan itu sekali gus mencetuskan gelombang spekulasi dalam kalangan peminat dan media antarabangsa yang percaya lokasi ikonik di tengah Manhattan itu bakal menjadi saksi penyatuan pasangan berprofil tinggi berkenaan.

Berdasarkan laporan CBS News, jurucakap pejabat Datuk Bandar New York, Dora Pekec, berkata satu permohonan permit dikemukakan pada awal Jun bagi menutup beberapa laluan berhampiran Madison Square Garden bermula 2 hingga 4 Julai.

Bagaimanapun, tiada nama Swift atau Kelce dinyatakan dalam dokumen permohonan berkenaan.

Laporan itu turut menyebut, pemain posisi tight end NFL, George Kittle yang mewakili San Francisco 49ers mengesahkan kepada Entertainment Tonight bahawa dia dan isterinya menerima jemputan ke majlis berkenaan, namun mengakui mereka sendiri tidak mengetahui butiran lanjut.

Ketika ditanya sama ada majlis perkahwinan itu akan berlangsung di Madison Square Garden, Kittle berkata dia tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

"Saya langsung tidak tahu. Malah, saya ada bertanya kepada Travis dan dia hanya ketawakan saya," katanya, lapor CBS News.

Cadangan penggunaan Madison Square Garden sebagai lokasi turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat.

Ada yang berpendapat lokasi itu agak luar jangka memandangkan ramai sebelum ini menjangkakan Swift akan memilih lokasi lebih eksklusif dan romantik seperti kawasan pantai berhampiran kediamannya di Rhode Island.

Namun, tidak kurang yang melihat pilihan arena tertutup itu sebagai simbolik kerana menggabungkan dua dunia yang sinonim dengan pasangan berkenaan iaitu muzik dan sukan.

Selain nilai simbolik, faktor keselamatan juga dilihat antara sebab lokasi itu menjadi pilihan memandangkan kawalan keluar masuk lebih mudah dikendalikan selain mampu mengelakkan gangguan pihak luar termasuk paparazi.

Sekiranya dakwaan itu benar, acara berkenaan dijangka menjadi antara majlis selebriti paling berprofil tinggi di New York dan berpotensi mencipta sejarah tersendiri.

Setakat ini, Swift dan Kelce masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung lokasi atau tarikh perkahwinan mereka.

Namun, spekulasi itu terus hangat diperkatakan dan menjadi perhatian peminat di seluruh dunia yang menantikan sebarang pengumuman rasmi daripada pasangan berkenaan. -AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan