norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon juga pelawak veteran, Sathiya, 62, kini sudah mampu menguruskan diri seperti bangun dan duduk sendiri dalam kerusi roda tanpa bantuan isteri dan anak-anak sebelum ini.
Menurut anaknya, Amani Nair Satya, 37, keadaan kesihatan bapanya semakin baik kerana semangatnya kuat mahu berdikari menguruskan rutin harian membuatkan dia berasa lega.
"Keadaan ayah memang nampak dia semakin sihat sekarang. Memang lega dan boleh dikatakan, ayah juga sudah buat sendiri rutin harian dia macam bangun duduk sendiri dalam kerusi roda kalau hendak bergerak.
"Kalau sebelum ini ada juga saya dan adik kena tolong ayah nak duduk kerusi roda. Saya dapat tengok semangat ayah sangat kuat untuk berdikari walaupun keupayaan dia kini terhad.
"Mungkin juga dia ada dapat lagi tawaran berlakon dan berasa diri mampu bekerja. Jadi, itu yang buat ayah 'happy' dan kuat semangat untuk sihat tanpa memikirkan ada kekurangan pada dirinya.
"Ditambah lagi, ayah juga sentiasa bersedia berlakon dan baru-baru ini dia dapat pula watak Roti untuk filem animasi Zan Orang Utan daripada KRU Studio, memang sangat bersemangatlah," katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai kebimbangan membenarkan bapanya kembali bekerja semula, Amani berkata, dia tidak boleh menghalang kerana dunia lakonan sudah sebati dengan jiwa serta minat Sathiya sejak lelaki itu masih muda.
"Saya tidak boleh nak halang ayah sebab itu kerjaya dan minat dia. Sejak dari muda ayah sudah berlakon dan kawan-kawan dia pun ada ramai di set penggambaran. Jadi, saya tahu itu juga yang buat ayah gembira dan ceria. Kami sekeluarga teruskan menyokong ayah.
"Malah, berlakon animasi pula kami fikir tidak akan banyak bergerak kerana ayah perlu bercakap untuk rakaman suara sahaja. Selain, rezeki ayah masih ada dalam lakonan dan tidak apalah. Saya dan adik hanya perlu pantau sahaja," katanya.
Difahamkan, Sathiya kini hanya ke hospital untuk pemeriksaan mengikut temujanji doktor pakar dan perlu makan ubat termasuk menjaga pemakanan harian atas faktor usia.
Pada 8 Mac lalu, Sathiya dibawa ke Hospital Ampang dan menerima rawatan di zon kuning selepas mengadu pening kepala serta mengalami simptom mata menjadi kuning dan muntah-muntah ketika di rumah.
Pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu kemudian menjalani pembedahan segera pada kaki kirinya yang dipotong sehingga di atas paras lutut pada 9 Mac apabila doktor memaklumkan ada jangkitan kuman.
Sathiya sebelum itu terjatuh di rumah dan kaki kirinya yang pernah dipotong akibat kencing manis atau diabetes pada September tahun lalu mengalami luka serta berdarah.
Selepas melakukan ujian X-ray dan ujian darah, pihak hospital menyarankan Sathiya menjalani pembedahan pada kaki kiri sebagai langkah mengelakkan jangkitan kuman terus merebak ke bahagian lain.
























