KUALA LUMPUR: Pelakon Julia Farhana Marin mengakui dirinya sedang melalui satu fasa kehidupan sangat peribadi sejak tahun lalu, sekali gus memerlukan ruang untuk diri sendiri.
Mengulas mengenai perkongsiannya dalam media sosial, baru-baru ini, Julia, 32, berkata dia tidak mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan secara terperinci, namun, memohon agar tindakan itu tidak disalahertikan.
"Kalau hendak mengulas mengenai apa yang saya kongsikan, sejujurnya saya tidak banyak yang ingin diperkatakan.
"Sejak tahun lalu, saya sedang melalui sesuatu yang sangat peribadi. Apa yang saya lakukan baru-baru ini tidak sepatutnya dianggap sebagai sesuatu yang normal atau dijadikan kebiasaan," katanya kepada Harian Metro.
Menurut pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini, apa yang dilakukannya ketika ini adalah demi memberi ruang kepada diri sendiri sebagai manusia.
Menurutnya, fasa yang dilaluinya sekarang adalah sebahagian daripada proses mematangkan lagi dirinya pada masa hadapan.
"Saya memproses segala yang berlaku, belajar daripadanya dan terus berkembang menjadi insan yang lebih baik pada setiap langkah.
"Pada tahap kehidupan saya ketika ini, inilah yang saya perlukan untuk bernafas dan memberi sedikit ruang kepada diri sendiri," katanya.
Di Instagram (IG), Julia memuat naik hantaran terbaharu tanpa hijab dengan keterangan ringkas mengenai dirinya.
"Bertemu diri saya dan takkan kehilangannya lagi," tulisnya.
Mei lalu, Julia mengundang perhatian ramai apabila berkongsi video tanpa memakai hijab dalam Instagram Story (IGs).
























