KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai tarikh dan lokasi Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40 akhirnya terjawab apabila TV3 mengumumkan acara berprestij itu bakal berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil di sini, pada 15 Ogos depan.
Susulan pengumuman itu, jualan tiket rasmi mula dibuka tepat jam 9 malam tadi menerusi platform rasmi www.wowtix.com.my bagi membolehkan peminat menyaksikan malam kemuncak secara langsung.
Dengan pembukaan jualan tiket rasmi ini, kempen #ROADTOAJL40 kini memasuki fasa yang lebih mendebarkan menuju malam kemuncak bagi meraikan karya terbaik serta individu kreatif di sebaliknya.
Bagi memeriahkan lagi sambutan edisi ke-40 ini, pelbagai pengisian menarik dan eksklusif turut dirancang termasuklah acara Meet & Greet serta Muzik Lab.
April lalu, 10 lagu diumumkan mara ke pentas AJL40 iaitu Lumangad Oku Dika (Ryenald Guntabid); Kamu (Aina Abdul); Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie); Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik); Tak Adil (Aisha Retno) dan Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan.
Turut bersaing Semacam Pandora dendangan Hazama; Lemah (Dayang Nurfaizah); Nurcinta (Amir Masdi) dan Tiwikarma (K.O.I).
























