KUALA LUMPUR: "Thank you S****g,".
Itu ucapan ringkas dan berahsia yang ditulis penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob kepada Datuk Seri Vida dalam ruangan keterangan video dimuat naik di Instagram awal pagi tadi.
Ucapan yang disertakan dengan emoji hati itu ditulis sebagai tanda terima kasih kerana Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman menghidangkan nasi kerabu kepadanya.
"'Sweet' kan bila Datuk Seri Vida yang hidangkan nasi kerabu untuk saya! Terima kasih banyak-banyak untuk nasi kerabu.
"Nasi kuning, ayam percik, ulam-ulam, daging bakar, solok lada, sambal nyor, telur masin, sambal cili dan budu tumis. Kemudian gaul dan makan dengan tangan. Pergh!
"Tapi kan, sebenarnya bertambah sedap sebab ada yang hidangkan terus ke pinggan satu demi satu," tulisnya.
Hantaran itu sekaligus menimbulkan spekulasi dalam kalangan pengikutnya dan dihujani ratusan komen doa agar mereka dipermudah dan disatukan.
Dalam satu komen balasan kepada netizen yang menganggap cara Vida menghidang agak ganas, Fazley memaklumkan bahawa ibu kepada pempengaruh juga penyanyi, Cik B itu sedang menyesuaikan diri.
"Tak apalah. Dia sedang sesuaikan diri semula. Saya okey saja. Bukan gamas itu yang jadi kayu pengukur, tapi niat dan usaha dia. Kesian dia. Dia gugup sangat," tulisnya.
Fazley dan Vida mula 'dijodohkan' ketika kedua-duanya menyertai program realiti, Talk To My Manager musim kedua baru-baru ini bersama anak masing-masing.
Terdahulu, Cik B juga nampaknya sudah memberikan lampu hijau sekiranya ibunya dijodohkan dengan Fazley.
























