BH Online
Ringkasan Berita

Jerat tampil elemen seram bertaraf antarabangsa

SEPANG: Pertaruhan baharu RedFiress Film Production bersama Captain Filmmakers Sdn Bhd menerusi filem Jerat dijangka membawa penonton menyelami pengalaman sinematik penuh debaran apabila mempertaruhkan elemen seram dengan sentuhan produksi bertaraf antarabangsa.
Jerat tampil elemen seram bertaraf antarabangsa

Penerbit, Palani (lima kanan) dan pengarah, Roy bersama barisan pelakon pada majlis pelancaran filem Jerat di Hotel Holiday Inn, Sepang, baru-baru ini. Foto NSTP/Ahmad Ukasyah

SEPANG: Pertaruhan baharu RedFiress Film Production bersama Captain Filmmakers Sdn Bhd menerusi filem Jerat dijangka membawa penonton menyelami pengalaman sinematik penuh debaran apabila mempertaruhkan elemen seram dengan sentuhan produksi bertaraf antarabangsa.

Diterbitkan dengan kos RM3 juta, filem arahan Roy Krishna itu dijadual memulakan penggambaran sekitar Ogos hingga September depan di beberapa lokasi, termasuk Selangor, Johor, Pahang dan Perak.

Roy berkata, Jerat bukan sekadar menggabungkan pelbagai elemen penceritaan, malah mengetengahkan pendekatan lebih segar yang diyakini mampu memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.

Katanya, jika sebelum ini penonton banyak disajikan dengan karya berteraskan aksi dan perjuangan, kali ini pihaknya memilih untuk memperkukuhkan elemen seram bagi menghasilkan impak emosi serta ketegangan yang lebih kuat.

"Pendekatan ini dipilih kerana kami mahu Jerat tampil dengan nilai produksi yang mampu berdiri pada tahap antarabangsa.

"Kami juga menjalankan kajian terhadap pelbagai karya luar negara bagi memahami perkembangan trend serta kecenderungan penonton masa kini," katanya pada sidang media dan Majlis Pelancaran Filem Jerat di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Roy yang pernah mengarahkan beberapa filem seram komedi terbitan RedFiress Film Production seperti Zaara (Zaara Bukan Nama Aku) dan Sumpahan Syaitan berkata, matlamat utama penerbitan Jerat adalah memastikan karya tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa menerusi kekuatan penceritaan dan nilai produksi.

Katanya, hasil kajian turut menunjukkan penonton kini lebih tertarik kepada babak yang mampu mencetuskan rasa takut, cemas dan tidak selesa kerana memberi kesan emosi lebih mendalam.

"Jalan cerita dibangunkan dengan teliti dan hasil akhirnya menunjukkan tahap kematangan yang sangat baik.

"Kami percaya elemen yang diketengahkan dalam filem ini mampu memenuhi kehendak penonton tempatan yang sentiasa mencari karya baharu dan berbeza," katanya.

Filem Jerat membariskan pelakon seperti Pekin Ibrahim, Aprena Manrose, Stacy, Captain Palani, Datuk Jalaluddin Hassan, Qamarina Lim serta Razib Salimin.

Video Terkini

Berita Berkaitan