LOS ANGELES: Genap 17 tahun pergi dalam ratapan peminat di seluruh dunia, hari ini, Raja Pop, Michael Jackson terus mencipta sejarah, lantas membuktikan pengaruh besar mendiang dalam dunia muzik era digital.
Lgasi komersial yang ditinggalkan penyanyi Beat It ini terbukti kukuh apabila filem biopik Michael dilapor mencipta satu lagi rekod baharu di pawagam, hampir dua dekad selepas pemergiannya, lapor agensi.
Filem arahan Antoine Fuqua yang mengangkat perjalanan hidup Jackson sejak awal kemunculannya, menjadi antara fenomena terbesar layar perak tahun ini apabila terus mencatat pelbagai pencapaian sejak ditayangkan secara meluas pada musim bunga lalu.
Ketika minggu pertama tayangan, Michael meraih kutipan pembukaan domestik berjumlah RM413 juta manakala kutipan antarabangsa mencecah RM517 juta. Ini sekali gus merekodkan jumlah kutipan global hujung minggu pembukaan sebanyak RM930 juta.
Angka itu menjadikan Michael sebagai filem biografi dengan kutipan pembukaan tertinggi dalam sejarah, mengatasi rekod RM340 juta yang dicatatkan filem Oppenheimer, lapor portal Fiction Horizon.
Pencapaian itu turut mengejutkan pemerhati industri perfileman kerana kebanyakan unjuran awal hanya menjangkakan kutipan filem Michael kira-kira RM298 juta pada minggu pertama tayangan.
Hari ini, genap 17 tahun lalu, peminat dikejutkan dengan berita kematian Jackson yang dilapor menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung kesan daripada pengambilan pelbagai jenis ubat, pada usia 50 tahun.
Kini, hampir dua bulan selepas ditayangkan, Michael terus menambah koleksi rekod apabila mengatasi kutipan domestik filem The Jungle Book sebanyak RM1.56 bilion, sekali gus meletakkannya dalam kelompok 70 filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Amerika Syarikat (AS).
Pada minggu kesembilan tayangan domestik, filem itu masih berjaya mengutip RM12.3 juta walaupun berdepan penurunan lebih ketara susulan pelancaran versi digital yang mula menarik sebahagian penonton daripada pawagam.
Di peringkat global, Michael kini melepasi kutipan RM4 bilion di seluruh dunia, sekali gus muncul sebagai filem dengan kutipan tertinggi pernah diterbitkan oleh syarikat produksi Lionsgate, lapor agensi.
Filem Michael juga menjadi naskhah filem kedua paling laris tahun ini dan biopik muzik dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Rekod itu sebelum ini dipegang Bohemian Rhapsody, biopik mengenai kumpulan Queen yang meraih kutipan RM3.87 bilion di seluruh dunia dan memenangi empat trofi Oscar.
Penerbit Graham King yang menerbitkan kedua-dua filem berkenaan sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya memecahkan rekod miliknya sendiri.
Michael dibintangi Jaafar Jackson, anak saudara Jackson, yang memegang watak utama. Pemilihan Jaafar mendapat restu awal keluarga Jackson, termasuk ibu Michael, Katherine Jackson yang menyifatkan pelakon muda itu benar-benar menggambarkan karakter anaknya.
Dengan tayangan domestik yang masih berlangsung, filem Michael kini memburu beberapa lagi rekod apabila semakin menghampiri kutipan filem Despicable Me 2, The Secret Life of Pets dan The Batman.
Sasaran terbesar seterusnya ialah The Passion of the Christ yang mencatat kutipan domestik RM1.58 bilion.
Jika berjaya mengatasi angka itu, Michael bakal dinobatkan sebagai filem biografi dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pawagam AS.
Malah, sekuel filem berkenaan dilaporkan sedang dalam pembangunan, sekali gus memberi bayangan perjalanan Michael dalam sejarah perfileman masih belum berakhir. - AGENSI
























