KUALA LUMPUR: Bekas suami Adira Suhaimi, iaitu Datuk Red, 48, menarik perhatian ramai dalam media sosial selepas berkongsi berita gembira bakal berkahwin baharu dengan wanita pilihannya, bulan depan.
Cinta hati Red itu difahamkan usahawan dan ibu tunggal yang memiliki seorang anak, iaitu Rohanita, 35, yang dikenali melalui urusan perniagaan.
Meninjau ruangan komen dalam hantaran media sosial yang tular, kebanyakan netizen mendoakan kebahagiaan Red dan bakal isteri. Netizen juga menyifatkan Red sebagai 'pencinta wanita sejati' dengan sikap lelaki budiman.
"Tahniah abang Red. Semoga terus bahagia," komen seorang warganet.
"Jodoh Allah yang tentukan. Alhamdulillah," kata pengguna media sosial.
"Moga kali ini kekal hingga akhir hayat," ujar seorang warga maya.
"Senang, dapat pakej kahwin dan bisnes bakal isteri," tulis netizen.
Malah, ada segelintir netizen menyangka Red dan bakal isteri sudah berkahwin kerana mereka dikatakan sering membuat 'live''bersama di rumah.
Hubungan rapat Red atau nama sebenar, Datuk Seri Adnan Abu dengan usahawan berkenaan juga dikatakan bukan lagi rahsia apabila mula menjadi perhatian ramai dalam media sosial sejak Januari lalu.
Sementara itu, prosiding pengesahan lafaz rujuk yang difailkan Red terhadap Adira pada Disember tahun lalu akan disebut semula di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Rawang, petang ini.
Red sebelum ini berkahwin dengan Adira sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015, namun, bercerai pada 24 April 2024 dan mereka dikurniakan empat anak.
























