NEW YORK: Tokoh berpengaruh industri muzik dunia, Clive Davis, yang memainkan peranan besar dalam mencorakkan landskap muzik rock dan pop moden termasuk memperkenalkan penyanyi digelar 'The Voice', iaitu mendiang Whitney Houston, meninggal dunia pada usia 94 tahun.
Bekas Presiden Columbia Records dan Arista Records itu dikenali sebagai individu yang menemui serta membentuk kerjaya ramai artis ternama termasuk mendiang Aretha Franklin, Bruce Springsteen, Billy Joel, Santana, mendiang Janis Joplin, Christina Aguilera dan Alicia Keys.
Menurut keluarganya, Davis sebelum ini dimasukkan ke hospital akibat masalah pernafasan dan sedang menjalani proses pemulihan di kediamannya di Manhattan, New York sebelum menghembuskan nafas terakhir, lapor BBC.
"Dunia mengenali bapa kami sebagai legenda muzik yang memiliki visi, naluri dan komitmen luar biasa dalam mengejar kecemerlangan sehingga berjaya membentuk runut bunyi kehidupan jutaan manusia.
"Beliau menemui, membimbing dan memperjuangkan artis-artis terbaik dalam sejarah muzik moden, sekali gus meninggalkan legasi yang akan terus dikenang sepanjang zaman.
"Bagi keluarga pula, Clive adalah seorang ayah dan datuk yang menjadi tonggak utama kehidupan kami, sumber kebijaksanaan, kekuatan, dorongan serta kasih sayang tanpa syarat," kata keluarga mendiang dalam satu kenyataan.
Antara yang memberi penghormatan adalahh Springsteen yang menyifatkan Davis sebagai sahabat rapat dan tokoh rakaman hebat.
Menerusi hantaran Instagram (IG), penyanyi lagu Born in the USA itu berkata, Davis mengubah hidupnya apabila menawarkan kontrak rakaman bersama Columbia Records ketika beliau berusia 22 tahun.
"Beliau melayan saya dengan penuh hormat dan baik hati ketika saya masih belum dikenali, sama seperti selepas saya mencapai kejayaan. Beliau seorang insan hebat," katanya.
Penyanyi dan penulis lagu, Patti Smith turut menzahirkan penghargaan terhadap jasa Davis.
"Terima kasih Davis kerana mengubah dunia muzik dan secara peribadi kerana mempercayai saya, membimbing usaha seni saya serta memberikan kasih sayang dan sokongan sepanjang lebih lima dekad," tulisnya.
Dilahirkan di Brooklyn pada 4 April 1932, Davis membesar di kawasan kejiranan Crown Heights.
Davis menamatkan pengajian di Harvard Law School dan tidak mempunyai pengalaman dalam industri muzik ketika menyertai Columbia Records pada usia 28 tahun.
Bagaimanapun, Davis mengikuti kelas malam bagi mendalami undang-undang hak cipta, kontrak dan litigasi, sebelum menggunakan pengetahuan itu untuk membantu syarikat berdepan kes antimonopoli persekutuan serta meyakinkan Bob Dylan kekal bersama label berkenaan.
Pada 1965, beliau dilantik sebagai Naib Presiden Columbia Records sebelum dinaikkan sebagai Presiden syarikat.
Antara artis yang berjaya dibawanya menyertai label itu ialah Santana, Aerosmith, Pink Floyd dan Springsteen, sekali gus memberi nafas baharu kepada syarikat rakaman tersebut.
"Saya mungkin tidak mempunyai naluri muzik yang luar biasa pada awalnya, tetapi saya berjaya mengembangkannya.
"Apabila anda melihat bakat seperti Joplin atau Springsteen, anda tahu mereka istimewa," kata Davis dalam satu temu bual.
Mendiang Davis terkenal sebagai eksekutif yang sentiasa menyokong artis, namun tidak teragak-agak membuat keputusan sukar demi kejayaan mereka.
Pada awal 1970-an, Davis menasihatkan Simon & Garfunkel supaya lagu Bridge Over Troubled Water dijadikan single utama berbanding Cecilia.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam perkembangan awal kerjaya Springsteen dengan menggalakkannya lebih aktif bergerak di atas pentas.
Beberapa minggu selepas memberi nasihat itu, Davis dilapor menyaksikan persembahan Springsteen di sebuah kelab di Greenwich Village.
"Saya terpegun. Dia melompat ke atas meja dan bergerak tanpa henti. Bukan sekadar pergerakan, tetapi semangat yang dipamerkan benar-benar luar biasa," katanya.
Walaupun berjaya memimpin Columbia Records, Davis akhirnya disingkirkan selepas syarikat itu menuduh beliau menggunakan dana korporat bagi tujuan peribadi.
Beliau didakwa atas enam pertuduhan berkaitan cukai, namun hanya mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan manakala selebihnya dibebaskan.
Tidak lama kemudian, beliau menubuhkan Arista Records yang berjaya melahirkan ramai bintang baharu termasuk Barry Manilow dan Patti Smith.
Salah satu kejayaan terbesar mendiang Davis ialah mengesan bakat Houston pada 1983 ketika penyanyi itu baru berusia 19 tahun.
Beliau menghabiskan beberapa tahun mencari penulis lagu dan penerbit terbaik bagi memastikan kehebatan vokal Houston dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Album sulung mendiang Houston yang diterbitkan pada 1985 mencatat kejayaan luar biasa dengan tiga lagu menduduki tangga pertama carta Amerika Syarikat (AS), iaitu Saving All My Love for You, How Will I Know dan Greatest Love of All. Album itu kemudian terjual lebih 25 juta unit di seluruh dunia.
Naluri Davis sekali lagi terbukti tepat apabila beliau mencadangkan lagu I Will Always Love You dimulakan dengan nyanyian a capella selama 40 saat, meskipun dibantah penerbit David Foster.
Lagu berkenaan akhirnya menjadi hit terbesar mendiang Houston dengan menduduki carta nombor satu AS selama 14 minggu dan carta United Kingdom selama 10 minggu.
Walaupun pernah mengakui tidak begitu memahami muzik rap, ,Davis berjaya mengembangkan pengaruh Arista dalam genre hip-hop dan urban menerusi kerjasama dengan Babyface dan LA Reid.
Usaha itu membawa kemunculan artis popular seperti Outkast, Usher dan TLC.
Davis juga menjalin kerjasama dengan Sean 'Diddy' Combs menerusi Bad Boy Records yang memperkenalkan nama besar seperti Notorious B.I.G. dan Faith Evans.
Pada 1999, Davis membantu Carlos Santana kembali mencipta fenomena menerusi album Supernatural yang terjual lebih 15 juta unit dan memenangi Anugerah Grammy bagi kategori Album Terbaik.
Setahun kemudian, beliau meninggalkan Arista untuk menubuhkan J Records yang melahirkan bintang seperti Alicia Keys dan Maroon 5 sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Kreatif Sony Music.
Sepanjang lebih enam dekad dalam industri muzik, mendiang Davis memenangi lima Anugerah Grammy dan disenaraikan dalam Rock and Roll Hall of Fame pada tahun 2000 sebagai tokoh bukan penghibur.
Majlis tahunan pra-Grammy anjurannya yang bermula sejak 1976 turut menjadi antara acara paling berprestij dalam kalendar industri muzik.
Dalam satu wawancara pada 2016, Davis dilapor berkata, rahsia kejayaannya adalah keyakinan terhadap kuasa muzik yang tidak akan lapuk ditelan zaman.
"Muzik adalah sebahagian daripada kehidupan manusia. Walau apa juga perubahan teknologi, muzik tidak akan hilang. Manusia sentiasa memerlukan muzik kerana ia adalah unsur asas yang melengkapkan kehidupan," katanya. - BBC
























