SHANGHAI: Sempadan antara festival filem dan pameran teknologi dilihat semakin kabur apabila Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF) tahun ini menjadi pentas memperlihatkan bagaimana kecerdasan buatan (AI), pembikinan mudah alih dan realiti maya (VR) mula membentuk semula landskap industri perfileman global.
Sepanjang penganjuran festival, perbincangan, tayangan dan demonstrasi teknologi berlangsung serentak, sekali gus memberi gambaran jelas mengenai arah masa depan dunia perfileman.
Simbol perubahan itu dapat dilihat seawal sidang media pembukaan apabila pelakon China, Xin Zhilei berseloroh bahawa beliau mendapatkan nasihat lakonan daripada aplikasi AI tempatan, Doubao sehingga mencetuskan gelak tawa hadirin dan menggambarkan betapa pantas teknologi itu diterima masyarakat.
Memetik laporan The Hollywood Reporter, China ketika ini menganggarkan nilai industri teras AI mencecah AS$174 bilion (RM722 bilion) dengan sektor filem dan kandungan digital menjadi antara penyumbang utama melalui penggunaan meluas teknologi itu dalam drama pendek dan animasi.
Antara inisiatif yang mencuri perhatian ialah program AI Backlot hasil kerjasama SIFF dan Hailuo AI (MiniMax) yang mempertemukan pengarah filem konvensional dengan pembikin kandungan AI bagi menghasilkan filem pendek dalam tempoh sebulan.
Menariknya, keseluruhan proses pembangunan karya dipertontonkan secara langsung menerusi konsep studio terbuka di Shanghai Film Art Center.
Pengarah China, Hou Zuxin dipadankan dengan pembikin filem AI dari Jerman, Mark Wachholz dan menghasilkan karya pendek A Message for the Butterfly yang menampilkan penerokaan tema memori dan pemikiran abstrak.
Wachholz dilapor menyifatkan karya itu sebagai 'dokumentari idea' kerana AI mempunyai keupayaan tinggi untuk memvisualisasikan konsep yang sukar diterjemahkan secara tradisional.
Hou pula dilapor mengakui pengalaman itu membuka perspektif baharu terhadap proses kreatif.
"Saya sebelum ini melihat AI dari sudut kreativiti dan ekonomi.
"Namun, pengalaman ini membolehkan saya menghasilkan sebuah filem secara penuh dan ia seperti membuka dunia baharu dalam pembikinan karya," katanya.
Selain AI, SIFF turut meneruskan program SIFF ING yang memberi tumpuan kepada pembikinan filem menggunakan telefon pintar.
Program itu menghimpunkan 10 bakat muda di bawah bimbingan sinematografer Gao Weizhe, pelakon Qu Chuxiao dan pengarah Nick Cheuk.
Pendekatan berkenaan dilihat sebagai usaha meneroka teknologi baharu serta membuka ruang kepada generasi muda menghasilkan karya dengan akses yang lebih mudah.
"Saya mahu menggunakan teknologi ini untuk menghasilkan karya yang bersifat peribadi kerana telefon ialah medium yang dekat dengan kehidupan kita," kata Gao.
Di sebalik tumpuan besar terhadap AI, teknologi realiti maya turut kembali mendapat perhatian apabila kerajaan China melihat potensi pasaran sektor itu mencecah AS$48 bilion (RM199 bilion) tahun ini.
Menerusi segmen SIFF Immersive, pengunjung diberi peluang menikmati persembahan konsert dalam format VR serta pengalaman naratif interaktif menerusi karya The Crafted Crime Cases.
Pengalaman itu membolehkan penonton menyiasat sendiri beberapa kes jenayah terkenal dalam sejarah menerusi teknologi imersif.
Menurut wakil syarikat VR Shengshi Wanhua Cultural Technology, Peng Qijun, filem realiti maya kini sedang bergerak daripada pengalaman eksperimental kepada sistem penerbitan dan pengedaran yang lebih tersusun.
"Teknologi ini membolehkan setiap penonton menikmati ruang tontonan tersendiri dan memberi pengalaman seolah-olah memasuki dunia filem," katanya. - AGENSI
























