KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid terkenal, UNIC, terus membuktikan relevansi dalam industri tanah air apabila tampil dengan projek terbaharu, iaitu Unicoustic Podcast sempena 24 tahun perjalanan seni mereka.
Anggota kumpulan UNIC, Dr Fitri Haris, berkata projek itu menampilkan rakaman semula semua lagu daripada album pertama UNIC dalam versi akustik yang lebih segar dan moden.
Lebih istimewa, lagu terbabit turut diterbitkan dalam bentuk podcast yang mengetengahkan pelbagai kisah di sebalik perjalanan awal penubuhan kumpulan itu.
"UNIC sudah merakamkan semula semua lagu dalam bersi akustik dari album pertama.
"Album berjudul You And I See versi akustik ini juga dibuat di dalam bentuk podcast bagi menceritakan sejarah awal penubuhan UNIC.
"Selain itu, ada juga kisah di sebalik lagu dalam album ini serta cerita suka dan duka anggota UNIC iaitu saya, Bazli Hazwan dan Fakhrul Radhi sepanjang memperjuangkan irama nasyid tanah air," katanya.
Fitri berkata, projek Unicoustic Podcast mengandungi 10 episod podcast dan 10 lagu versi akustik daripada album pertama mereka.
Tambahnya, penerbitan projek itu direalisasikan menerusi Geran Dana Kandungan Kreatif yang dibawa khas Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures serta diterbitkan UNIC Legacy.
"Geran ini sangat memberi impak kepada pemain industri seperti kami, terutama dalam industri nasyid sendiri.
"Kami harap dengan buah tangan terbaru kami ini dapat kembalikan nostalgia dari awal penubuhan UNIC sehingga kami dapat bertahan hari ini.
"Terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Digital, MyCreative Venture dan juga rakan media yang sentiasa bersama dalam perjuangan kami dalam menyampaikan dakwah dan misi kemanusiaan sejagat," katanya.
























