KUALA LUMPUR: Pempengaruh Aisar Khaled memohon maaf selepas video yang dimuat naik berkaitan kes membabitkan seorang pembantu rumah dan majikannya, tular di media sosial.
Dalam video itu, Aisar dilabel netizen sebagai seorang yang berat sebelah kerana tidak meneliti perkara itu secara terperinci dan terus membuat kesimpulan yang memberi kesan negatif kepada nama Malaysia.
"Selepas membaca dan meneliti isu itu dengan lebih mendalam, saya sedar bahawa saya tidak membuat kajian yang mencukupi sebelum berkongsi video itu.
"Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan itu. Niat saya bukanlah untuk membela mana-mana pihak atau menggambarkan rakyat Malaysia secara negatif.
"Jika hantaran saya menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan, atau menyebabkan ketidakselesaan kepada sesiapa, saya dengan rendah hati memohon maaf," tulisnya dalam hantaran di Threads.
Dalam hantaran sama, Aisar turut meluahkan prinsipnya yang percaya bahawa setiap individu berhak dilayan dengan maruah dan rasa hormat, tanpa mengira latar belakang atau peranan mereka dan berharap kes seperti ini tidak akan berulang.
"Saya juga berharap kes seperti ini tidak akan berulang pada masa hadapan dan hubungan antara majikan serta pembantu rumah dapat dibina atas dasar saling menghormati dan bertanggungjawab.
"Terima kasih kepada semua yang menegur saya dan menggalakkan saya untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam," tulisnya.
Terdahulu, Aisar yang mencipta nama di Indonesia memuat naik video ulasan mengenai kejadian antara pembantu rumah dan tuan rumah di beberapa platform media sosialnya.
Walaupun sudah membuat permohonan maaf, setakat ini, dia bagaimanapun masih belum memadam video di platform itu.
























