BH Online
Ringkasan Berita

Anugerah Grammy perkenal kategori baharu Persembahan Muzik Pop Asia Terbaik

LOS ANGELES: Edisi ke-69 Anugerah Grammy, tahun depan akan memperkenalkan lima kategori baharu, selain perubahan syarat pencalonan yang berpotensi memberi kesan kepada kategori Artis Baharu Terbaik.
Anugerah Grammy perkenal kategori baharu Persembahan Muzik Pop Asia Terbaik

Penganjur Anugerah Grammy berkongsi pengumuman mengenai pengenalan kategori baharu bagi acara acara berprestij itu melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Anugerah Grammy

LOS ANGELES: Edisi ke-69 Anugerah Grammy, tahun depan akan memperkenalkan lima kategori baharu, selain perubahan syarat pencalonan yang berpotensi memberi kesan kepada kategori Artis Baharu Terbaik.

Penganjur acara berprestij itu, Akademi Rakaman (Recording Academy) mengumumkan berdasarkan maklum balas ahlinya, anugerah Grammy 2027 akan mempertandingkan kategori Persembahan Muzik Pop Asia Terbaik, Persembahan Kolaborasi R&B Terbaik, Persembahan Vokal Pop Tradisional Terbaik, Album Muzik Rakyat Tradisional Terbaik dan Lagu Latin Terbaik.

Kenyataan penganjur menyebut, selain itu, Akademi Rakaman mengubah syarat pencalonan bagi kategori Artis Baharu Terbaik dengan membenarkan seseorang artis dicalonkan sehingga empat kali berbanding tiga kali sebelum ini.

Perubahan itu dijangka membuka peluang lebih luas kepada penyanyi baharu yang sebelum ini mungkin sudahmencapai had maksimum pencalonan, lapor AFP.

Sebelum ini, kategori berkenaan pernah dimenangi penyanyi terkenal seperti Olivia Rodrigo, Chappell Roan dan Olivia Dean.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Rakaman, Harvey Mason Jr berkata, perubahan yang diperkenalkan mencerminkan kepelbagaian industri muzik masa kini.

"Perubahan yang dicadangkan ahli Akademi Rakaman menggambarkan keluasan industri muzik hari ini serta pelbagai genre, kemahiran dan pencipta yang membentuk landskapnya.

"Kami teruja untuk melihat penambahbaikan ini direalisasikan pada tahun akan datang ketika meraikan penggiat muzik yang terus memacu perkembangan industri," katanya.

Anugerah Grammy yang dikenali sebagai malam paling gemilang dalam industri muzik dunia dijadual berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada Februari tahun depan. - AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan