KUALA LUMPUR: "Saya tak tahu sama ada akan buat lagi (konsert) selepas ini."
Pengakuan itu lahir daripada keletihan, tekanan dan pengorbanan yang dilalui penyanyi legenda, Datuk Aishah menjelang konsert yang disifatkannya sebagai antara ujian paling berat sepanjang lebih 40 tahun bergelar anak seni.
Sebulan menjalani latihan intensif, Aishah atau nama sebenar, Wan Aishah Wan Ariffin, 61, mengakui persiapan kali ini bukan sekadar menguji kemampuan vokal malah, turut mengheret emosi, fizikal dan mentalnya ke tahap yang tidak pernah dibayangkan.
Menurut Aishah, pada usia sekarang, dia semakin sedar bahawa dunia nyanyian bukan lagi sekadar bergantung kepada bakat semata-mata, tetapi menuntut disiplin, kesabaran, ilmu serta latihan berterusan.
Sudah lebih sebulan saya berlatih dan terus terang, otak pun sudah mula tepu. Dari segi menghafal lirik, boleh dikatakan sudah 90 peratus selesai, tinggal beberapa lagu solo kerana segmen medley hampir siap sepenuhnya.
"Apabila fikir balik, dalam usia macam sekarang dan keadaan cuaca yang panas, memang ini cabaran besar untuk orang seperti saya.
"Kalau ditanya sama ada saya mampu buat lagi selepas ini, saya sendiri tidak pasti sebab proses ini sangat panjang dan memenatkan.
"Dahulu mungkin kita hanya menyanyi, tetapi sekarang, saya sedar terlalu banyak perkara yang saya tidak tahu dan perlu belajar semula. Ini memang cabaran sebenar," katanya dalam satu pertemuan bersama media di sini, baru-baru ini.

Aishah berkata, setiap sesi latihan berlangsung sehingga lebih empat jam demi memastikan persembahan yang diberi berada pada tahap terbaik.
"Saya buat semua ini sebab mahu beri yang terbaik. Kalau selepas ini saya tak buat konsert lagi, sekurang-kurangnya saya puas hati kerana sudah bagi segala yang saya mampu.
"Jangan tunggu saat akhir untuk beli tiket. Datang dan sama-sama kita cipta nostalgia," pesan bekas vokalis kumpulan Aishah & The Fan Club itu.
Penyanyi lagu Janji Manismu itu meluahkan apa yang diharap bukan kesempurnaan mutlak, sebaliknya, peminat dapat melihat kesungguhan dan pengorbanan yang dicurahkan demi memberikan persembahan terbaik.
"Saya harap apabila datang ke konsert nanti, orang nampak jumlah usaha yang saya letakkan. Saya fikir tidak pernah dalam hidup saya bekerja sekeras ini.
"Saya cuma mahu naik pentas dan menikmati detik itu bersama penonton," katanya.
Mengulas tekanan penilaian penonton terhadap artis senior, Aishah mengakui sedih dan kecewa dengan sikap segelintir pihak yang terlalu cepat menghukum tanpa memahami keadaan sebenar di sebalik sesebuah persembahan.
"Sebagai peminat, kita kena realistik. Artis muda pun ada perbezaan antara rakaman dan nyanyian secara langsung, apatah lagi selepas 40 tahun menyanyi.
"Mungkin ramai tidak sedar atau tak fikir panjang sebelum beri komen. Kadang-kadang saya baca dan kata-kata itu melukakan. Orang tidak tahu keadaan sebenar. Mungkin artis tidak sihat, sistem bunyi bermasalah atau ada pelbagai gangguan lain.
"Saya boleh beritahu berapa banyak air mata saya menangis apabila orang tuduh macam-macam, kata suara sudah tak sedap, sudah tak merdu.
"Orang ingat artis tak baca komen. Percayalah, ramai baca. Sebelum menulis sesuatu, fikir dahulu kalau perkara sama diucapkan depan orang itu," katanya dalam nada sebak.
Aishah turut menegaskan budaya meninggalkan komen negatif dan memperlekehkan artis bukan sesuatu yang wajar dinormalisasikan.
"Saya tidak setuju budaya biadab ini dinormalisasikan. Ini soal adab. Jangan sebab tak nampak depan mata, kita bebas cakap apa sahaja.
"Jangan perlekehkan artis senior. Kami masih mencari rezeki dan masih ada kelompok yang menghargai lagu-lagu lama.
"Ada orang suka membandingkan artis dan merendahkan minat orang lain. Itu bukan budaya yang baik," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Aishah menjanjikan sebuah persembahan yang penuh emosi menerusi konsert Aishah 40 Chapters of Love apabila bakal menghidangkan deretan lagu melankolik yang menjadi cerminan perjalanan hidupnya sepanjang empat dekad bergelar anak seni.
Aishah berkata, setiap lagu yang dipilih dalam konsert itu mempunyai kisah tersendiri dan berkait rapat dengan suka duka yang pernah dilaluinya sepanjang 40 tahun dalam industri muzik.
"Siapa yang mengikuti lagu-lagu saya, mereka tahu setiap lagu ada jiwanya sendiri. Lagu-lagu itu menggambarkan apa yang saya lalui dalam kehidupan.
"Saya sudah susun senarai lagu dan setiap kali melihatnya, ada ketika saya tertanya-tanya bagaimana hendak menyanyikan lagu-lagu tertentu pada malam konsert nanti kerana emosinya terlalu kuat," katanya.
Antara lagu yang dijangka mengundang suasana hiba termasuk Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Syurga Di Telapak Kaki Ibu, Ayah dan Wajah, selain beberapa lagu lain seperti Fatwa Pujangga, Melukut Di Tepi Gantang dan Antara Cinta dan Kasih.
Dalam pada itu, Aishah turut berpesan kepada peminat supaya membawa tisu pada malam konsert kerana menjangkakan suasana penuh emosi bakal tercipta.
"Kena bawa tisu. Saya harap kalau suara saya pecah kerana terlalu emosi sekalipun, penonton akan membantu dan menyanyi bersama.
"Saya mahu menikmati malam itu bersama peminat, bercerita dan berkongsi kenangan. Itulah tujuan utama konsert ini diadakan," katanya.
Konsert Aishah 40 Chapters of Love akan dipentaskan di Megastar Arena, Bukit Bintang di sini, pada 4 Julai ini. Tiket berharga daripada RM168 hingga RM788 yang boleh dibeli menerusi platform Ticketmelon.
























