KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib melihat bantuan yang disalurkan kepada artis yang memerlukan dari skop yang lebih besar terutamanya, buat mereka yang berkecimpung dalam bidang perniagaan.
Azmir ketika ditemui pada sesi Ziarah Seni Madani FINAS dan penyerahan sumbangan kepada pelakon, Zul Yahya, hari ini berkata, perbadanan itu mengenal pasti kebolehan anak seni dan kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang.
"Kunjungan dan sumbangan kepada artis adalah perkara biasa. Sebenarnya, kita boleh buat pelbagai perkara untuk bantu artis-artis ini.
"Jangan kita hanya melihat dari sudut nak bantu bila mereka berdepan masalah kesihatan. Kita lihat dari sudut, bila artis itu sudah berkecimpung dalam dunia keusahawanan dan perniagaan. Kita cuba bantu.
"Zul Yahya sendiri seorang yang berkebolehan untuk mengajar artis-artis yang mungkin ingin belajar untuk berniaga menggunakan platform media sosial," katanya kepada Harian Metro.
Dalam pertemuan yang diatur oleh Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil itu juga, Zul turut memberikan beberapa cadangan kepada pihak FINAS.
"Pertemuan ini penting sebab kita pun tahu, Zul adalah anak seni berpengalaman. Lebih kurang 15 tahun dia punya pengalaman dalam bidang perniagaan dan sekarang, dia juga aktif di media sosial terutamanya TikTok.
"Dia ada memberikan beberapa cadangan antaranya, bagaimana artis-artis yang ada produk, boleh digabungkan untuk buat sesi siaran langsung atas talian.
"Mungkin ada artis-artis yang ada pengikut, tapi tak ada produk. Jadi, kita selaraskan dan akan lihat, bagaimana pihak FINAS serta kementerian dapat bantu," katanya.
Selain Azmir, turut hadir Ahli Jawatankuasa Kebajikan FINAS yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi serta Timbalan Presiden SENIMAN, Rena Tan.
























