BH Online
Ringkasan Berita

Filem Polong sasar kutipan RM15 juta

KUALA LUMPUR: Filem seram, Polong mencetuskan fenomena luar biasa apabila berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak RM14.2 juta setakat ini.
Filem Polong sasar kutipan RM15 juta

Penerbit melancarkan misi #RoadTo15m bagi meletakkan penanda aras baharu buat filem Polong dengan sasaran kutipan RM15 juta. Foto Ihsan PWS

KUALA LUMPUR: Filem seram, Polong mencetuskan fenomena luar biasa apabila berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak RM14.2 juta setakat ini.

Kutipan tinggi yang diraih naskhah arahan Zulkarnain Azhar itu sekali gus membuktikan filem tempatan masih mempunyai pengaruh besar dan mendapat tempat istimewa di hati penonton.

Primeworks Studios (PWS) dalam kenyataan media memberitahu, kejayaan itu adalah bukti keyakinan penonton terhadap karya yang berani tampil dengan identiti tersendiri.

"Kejayaan ini bukan sekadar angka tetapi bukti sokongan dan kepercayaan penonton terhadap karya tempatan yang berani tampil dengan identiti tersendiri.

"Mengangkat kisah legasi ilmu hitam, dosa silam dan sumpahan yang merentasi generasi, Polong berjaya mencuri perhatian penonton menerusi gabungan elemen seram tradisional, naratif psikologi yang mendalam serta pengalaman sinematik yang mencengkam emosi," katanya.

Filem Polong turut menerima reaksi positif daripada penggiat industri dan peminat yang memuji aspek penceritaan serta lakonan mantap barisan pelakon utama seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Jun Lojong, Namron, Nadiya Nisaa dan Amir Nafis.

"Pencapaian RM14.2 juta ini hadir hasil sokongan berterusan penonton dari seluruh negara yang terus memilih untuk menyaksikan Polong bersama keluarga dan rakan-rakan di pawagam.

"Sambutan yang diterima membuktikan bahawa karya tempatan yang berkualiti masih mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Malaysia," katanya.

Susulan kejayaan itu, penerbit melancarkan misi #RoadTo15m bagi meletakkan penanda aras baharu buat filem berkenaan.

"Kini, #RoadTo15m bermula dan setiap tiket yang dibeli membawa Polong selangkah lebih dekat ke destinasi seterusnya. Terima kasih Malaysia atas sokongan yang tidak berbelah bahagi. Teruskan momentum ini!" katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan