SEOUL: Kandungan hiburan Korea Selatan terus mencipta fenomena di peringkat global apabila eksport filem dan televisyen (TV) negara itu meningkat dua kali ganda antara 2019 hingga 2024.
Tahun lalu, sektor audiovisual Korea Selatan menyumbang kira-kira RM69.5 bilion kepada ekonomi negara dan menyediakan lebih 291,000 peluang pekerjaan.
Namun, di sebalik kejayaan itu, industri perfileman Korea Selatan berdepan cabaran kewangan yang semakin serius. Jualan filem box office domestik masih 45 peratus lebih rendah berbanding sebelum pandemik COVID-19, sebahagiannya disebabkan peningkatan populariti platform penstriman. Ini menyebabkan syarikat produksi mengurangkan pelaburan.
Mengikut Majlis Filem Korea, hanya 20 filem dihasilkan dengan bajet melebihi 3 bilion won (RM9.3 juta) tahun lalu berbanding antara 40 filem hingga 50 filem setahun sebelum pandemik COVID-19, lapor CNN.
Ketua Inovasi Kandungan CJ ENM, Hyun-jung Baek dilapor berkata, kos penerbitan di Korea Selatan meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Walaupun kandungan Korea berkembang pesat di peringkat global, keuntungan yang dijana tidak begitu besar," katanya.
Sehubungan itu, banyak syarikat produksi termasuk CJ ENM mula memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kos dan mempercepatkan proses penerbitan.
Penyokong teknologi itu percaya AI mampu mengembalikan daya saing industri hiburan Korea Selatan, namun, pengkritik bimbang ia bakal menggantikan tenaga kerja manusia dan menghakis identiti unik sinema Korea.
Pengkritik filem berpangkalan di Seoul, Darcy Paquet, berkata pandangan terhadap AI dalam industri filem masih berbelah bahagi.
"Teknologi ini boleh meningkatkan kecekapan tenaga kerja manusia, tetapi pada masa sama boleh digunakan untuk memotong kos dan mempercepatkan proses tanpa menjamin kualiti," katanya.
Selepas beberapa tahun digunakan dalam penghasilan filem pendek, AI kini mula memainkan peranan besar dalam filem cereka Korea Selatan.
Filem Run to the West yang dipasarkan sebagai naskhah cereka AI pertama Korea Selatan ketika ditayangkan, Oktober lalu, menggunakan AI secara meluas untuk menghasilkan makhluk mitos, latar fantasi, letupan dan kesan khas.
Pengarah AI filem itu yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Studio AI Freewillusion, Hansl Kwon, berkata penggunaan AI membolehkan proses penghasilan visual dilakukan 10 kali lebih pantas selain mengurangkan kos sehingga separuh berbanding teknik grafik komputer tradisional.
Menurutnya, syarikat itu baru-baru ini mengambil 60 artis AI baharu sekali gus menggandakan tenaga kerja dan membuka peluang kerjaya baharu dalam bidang perfileman berteknologi tinggi, lapor agensi.
Bulan lalu, CJ ENM turut melancarkan filem hibrid AI berjudul The House, sebuah filem seram berdurasi 60 minit yang dihasilkan dengan kerjasama Google Cloud Korea.
Filem itu diterbitkan dengan kos hanya 500 juta won (RM1.55 juta) dan menjalani penggambaran selama empat hari di sebuah studio tertutup.
AI Google seperti Imagen, Nano Banana 2 dan Veo digunakan untuk menghasilkan latar belakang serta kesan visual.
Baek berkata kebanyakan model AI sedia ada dibangunkan berasaskan grafik Barat, justeru, CJ ENM sedang membina perpustakaan aset kandungan Korea bagi menghasilkan visual yang lebih autentik.
Beliau menganggarkan penggunaan AI mampu mengurangkan tempoh penerbitan sehingga 50 peratus selain, menjimatkan kos pembinaan set dan lokasi penggambaran.
Pada 21 Mei lalu, dua lagi filem AI ditayangkan di pawagam Korea Selatan iaitu drama fiksyen sains I'm Popo dan drama era Man in Hanbok, yang kedua-duanya dihasilkan sepenuhnya menggunakan AI.
Perkembangan pesat AI dalam industri filem turut didorong pelaburan besar kerajaan Korea Selatan.
Kerajaan negara itu melipatgandakan bajet AI bagi 2026 dan memperuntukkan 8 bilion won (RM24.9 juta) dana kecemasan kepada industri filem untuk projek yang menggunakan teknologi canggih termasuk AI.
Majlis Filem Korea turut menganjurkan pameran filem AI sempena Festival Filem Antarabangsa Busan, tahun lalu manakala Agensi Kandungan Kreatif Korea melaburkan 19.8 bilion won (RM61.6 juta) bagi pembangunan produksi AI.
Pada Februari lalu, CJ ENM melancarkan AI Content Alliance, sebuah inisiatif yang menghimpunkan institusi akademik dan sektor swasta termasuk studio kecil serta sederhana bagi memperkukuh ekosistem kandungan AI Korea Selatan.
Pendekatan Korea Selatan berbeza dengan Hollywood yang lebih berhati-hati terhadap penggunaan AI.
Isu perlindungan pekerja dan kawal selia AI menjadi antara punca utama mogok panjang Kesatuan Penulis dan Kesatuan Pelakon Amerika Syarikat (AS) pada 2023.
Pengarah filem dan pakar kesan visual, Seong-Ho Jang, berkata studio Hollywood masih enggan melihat AI menggantikan tenaga kerja manusia.
Katanya, kesatuan pekerja industri filem Korea Selatan tidak sekuat di AS, menyebabkan suara individu lebih mudah diketepikan.
Syarikatnya, MOFAC Studios, menghasilkan filem animasi The King of Kings, yang menjadi filem Korea paling laris di AS setakat ini, dengan kos jauh lebih rendah berbanding produksi Hollywood.
Tahun lalu, syarikat itu menerima pelaburan sebanyak 6 bilion won (RM18.7 juta) bagi memperkukuh teknologi produksi berasaskan Unreal Engine yang mengintegrasikan AI.
"Dahulu setiap jabatan memerlukan 20 hingga 30 kakitangan. Kini satu atau dua orang sudah mampu mencapai tahap kecekapan yang sama, malah lebih pantas dan berkualiti," katanya.
Walaupun kerajaan menyokong penuh penggunaan AI, tidak semua penggiat industri kreatif dilapor bersetuju.
Pengarah terkenal, Park Chan-wook, antara yang lantang menyuarakan kebimbangan bahawa AI bakal menggantikan banyak pekerjaan dalam industri filem.
Dalam filem terbaharunya No Other Choice yang dibintangi Lee Byung-Hun, Park menyentuh isu penggantian tenaga manusia oleh AI.
"Saya mahu sampaikan mesej bahawa kehilangan pekerjaan adalah satu tindakan yang merosakkan kemanusiaan seseorang dan AI sedang melakukan perkara itu kepada manusia ketika ini," katanya.
Pengarah filem Parasite, Bong Joon Ho, turut menyuarakan kebimbangan sama walaupun mengakui teknologi AI digunakan dalam beberapa kesan visual filemnya Mickey 17 yang ditayangkan, tahun lalu.
Pada masa sama, isu hak cipta karya AI masih menjadi perdebatan apabila banyak persoalan berkaitan pemilikan dan pengiktirafan karya yang dijana AI belum mempunyai jawapan jelas.
Baek berpandangan penghargaan terhadap sesebuah karya pada masa depan mungkin bukan lagi diberikan kepada individu semata-mata, sebaliknya turut melibatkan syarikat yang membangunkan sistem AI berkenaan.
Penggunaan AI dalam perfileman juga menimbulkan persoalan berkaitan bias, stereotaip dan penyeragaman budaya yang berpotensi menghakis sentuhan manusia yang menjadi identiti sinema Korea.
Paquet berkata, AI membuka peluang baharu kepada pembikin filem, namun, kualiti tetap menjadi faktor utama yang menentukan penerimaan penonton.
Malah, filem AI Run to the West gagal mencatat kutipan memberangsangkan di pawagam walaupun tiket dijual pada harga separuh daripada biasa.
Menurutnya, industri perfileman Korea Selatan masih dalam fasa menilai potensi sebenar AI dan belum memberikan komitmen penuh terhadap teknologi itu. - CNN
























