KUALA LUMPUR: Menyangka batuk dialami sekadar gangguan biasa akibat rutin harian yang padat, pelakon, Puteri Sarah Liyana, akhirnya terpaksa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di sini, selepas kesakitan yang ditanggung menjadi semakin serius hingga menjejaskan tidur, selera makan dan keupayaan untuk minum.
Puteri Sarah berkata, sejak beberapa minggu lalu dia menjalani rutin tidur lewat hampir setiap hari kerana perlu membahagikan masa antara kerja, tugasan dan pelbagai komitmen lain.
Menurutnya, keadaan itu pada awalnya dirasakan masih mampu dikendalikan sehinggalah dia mula mengalami batuk berpanjangan.
"Selama seminggu saya abaikan batuk itu kerana menyangka ia hanya batuk biasa.
"Namun, setiap malam keadaan menjadi semakin sukar. Tekak terasa seperti dicucuk jarum. Saya tidak boleh tidur, tidak mampu makan dan akhirnya minum pun menjadi terlalu sakit," katanya menerusi hantaran di Instagram (IG).
Puteri Sarah berkata, pada jam 6 pagi semalam, dia akhirnya tertidur kerana tubuhnya terlalu letih menanggung keadaan itu.
Katanya, sebaik terjaga, dia berasa terlalu lemah sebelum ibunya membawanya mendapatkan rawatan di hospital.
Hasil pemeriksaan mendapati dia mengalami pelbagai ulser dan luka pada bahagian tekak.
Berkongsi pengalaman itu, Puteri Sarah mengakui insiden berkenaan membuka matanya mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan mendengar isyarat yang diberikan tubuh.
"Ada masanya tubuh hanya berbisik sebelum akhirnya menjerit.
"Kalau batuk, demam, selalu penat atau rasa ada sesuatu yang tidak kena pada badan, jangan ambil mudah. Rehat secukupnya, makan dengan baik, minum air dan tidur yang cukup.
"Semuanya boleh tunggu, tetapi kesihatan tidak," katanya.
Dalam masa sama, Puteri Sarah merakamkan penghargaan kepada doktor dan pasukan perubatan yang menjaganya sepanjang menerima rawatan.
"Saya hubungi doktor apabila kesakitan sudah tidak tertanggung dan beliau memberikan rawatan dengan penuh perhatian serta profesional.
"Alhamdulillah, keadaan saya semakin pulih. Mohon doakan kesihatan saya kembali baik," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mencari keseimbangan antara kerja, pelajaran dan waktu rehat kerana apabila kesihatan terganggu, segala urusan lain juga akan terhenti.
"Kesihatan bukan kemewahan, tetapi satu keperluan. Jaga diri sebelum tubuh memaksa kita untuk berhenti," katanya.
























